DUNIA
Mesir usahakan gencatan senjata 60 hari di Gaza, beri amaran kepada Israel
Abdelatty turut menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata terdahulu yang ditandatangani pada 19 Januari. - Foto AP
KAHERAH: Mesir sedang giat mempromosikan cadangan gencatan senjata selama 60 hari di Semenanjung Gaza sebagai langkah awal ke arah penyelesaian jangka panjang konflik antara Israel dan Hamas, menurut kenyataan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, pada Ahad.
Dalam wawancara bersama televisyen tempatan, Abdelatty menegaskan bahawa Mesir sedang berusaha mendapatkan persetujuan semua pihak terlibat, sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu oleh Israel selepas perjanjian dicapai akan mencetuskan ketidakstabilan serantau.
“Kami tidak boleh membenarkan keganasan berterusan menjadi norma. Jika Israel menyambung semula serangan selepas perjanjian, ia akan menjadi punca utama ketegangan di rantau ini,” katanya.
Abdelatty turut menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata terdahulu yang ditandatangani pada 19 Januari, dan menyatakan bahawa Washington memahami keperluan untuk jaminan antarabangsa bagi memastikan sebarang perjanjian baharu dipatuhi.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, berkata rundingan tidak langsung dengan Israel masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
Beliau menyalahkan Israel atas kegagalan tersebut, dengan mendakwa bahawa Tel Aviv terus menuntut pelucutan senjata dan syarat yang menjejaskan kedaulatan Palestin.
Mardawi menegaskan bahawa Hamas hanya akan bersetuju dengan perjanjian yang menjamin penghentian penuh serangan Israel dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza.