Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Mesyuarat dengan Zelensky belum ada dalam agenda - Rusia

Bernama 16/08/2025 | 11:40 MYT
Kremlin mengesahkan bahawa mesyuarat tiga hala dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky tidak dibincangkan dalam pertemuan antara Presiden Trump dan Presiden Putin di Alaska. - Gambar/ Reuters
MOSCOW: Mesyuarat tiga hala dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, tidak dibangkitkan dalam perbincangan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dan Presiden Rusia Vladimir Putin, di Alaska, menurut Kremlin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Kremlin mengesahkan bahawa mesyuarat tiga hala dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky tidak dibincangkan dalam pertemuan antara Presiden Trump dan Presiden Putin di Alaska.
  • Putin menjemput Trump ke Moscow untuk pertemuan seterusnya, namun tarikh dan lokasi rundingan lanjut masih belum ditentukan.
  • Rundingan selama tiga jam tidak menghasilkan keputusan konkrit, termasuk cadangan gencatan senjata, tetapi kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan dialog.


Penasihat dasar luar Putin, Yuri Ushakov, memberitahu televisyen negara Rusia pada Sabtu bahawa sidang kemuncak seperti itu belum pernah dibincangkan setakat ini dalam usaha bersama untuk menyelesaikan konflik di Ukraine.

Ushakov berkata tarikh bagi pertemuan seterusnya antara Putin dan Trump juga masih belum ditentukan.

Beliau menambah bahawa Putin menjemput Trump ke Moscow semasa sidang akhbar bersama di Anchorage, Alaska, pada Jumaat.

Dalam perjalanan pulang ke Moscow, presiden Rusia itu singgah di wilayah Chukotka di Timur Jauh untuk mengadakan perbincangan mengenai pembangunan serantau.

Semasa pertemuan kira-kira tiga jam pada Jumaat, Putin dan Trump membincangkan kemungkinan menamatkan perang yang kini memasuki tahun keempat. Tiada keputusan konkrit diumumkan.

Gencatan senjata yang dituntut oleh AS, Ukraine dan negara Eropah juga tidak dipersetujui. Putin dan Trump hanya mengumumkan bahawa akan ada rundingan lanjut, tanpa menyatakan tarikh dan lokasi.

-- BERNAMA


#konflik Rusia-Ukraine #Vladimir Putin #Donald Trump #Volodymyr Zelensky