DUNIA
Mesyuarat pertama mekanisme perundingan ekonomi dan perdagangan China-AS dibuka di London, tarik perhatian global
Lifeng dan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent (tengah) bergambar bersama Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer, Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick, Menteri Perdagangan China Wang Wentao, timbalannya Li Chenggang, di London, 9 Jun. REUTERS
Mesyuarat pertama mekanisme perundingan ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) dibuka di sini pada Isnin, menarik perhatian sedunia.
Naib Perdana Menteri China He Lifeng, yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, menghadiri mesyuarat itu bersama wakil-wakil AS, menurut agensi berita Xinhua.
Pemimpin perniagaan menyambut baik mesyuarat itu dengan menjangkakan hasil yang menang-menang.
"Hanya melalui saling menghormati kita boleh mencapai kerjasama menang-menang," kata Yang Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Westwell Holdings (Hong Kong) Ltd, sebuah syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) China.
Beliau yang menghadiri acara London Tech Week yang sedang berlangsung, berkata diharap hubungan ekonomi dan perdagangan normal antara kedua-dua negara dapat dipulihkan, sambil menyeru kedua-dua kerajaan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang AI dan bersama-sama membuka dimensi baharu dalam inovasi global.
Ketua Pegawai Eksekutif OBE di London Partners Laura Citron memberitahu Xinhua bahawa hubungan perdagangan stabil antara dua ekonomi terbesar dunia sentiasa baik untuk ekonomi global, sambil menambah London sebagai sebuah bandar raya mempunyai ekonomi perdagangan yang sangat terbuka.
"Kami sangat berharap dapat melihat hubungan perdagangan yang kukuh dan boleh diramal antara AS dan China," katanya.
-- BERNAMA