Skip to main content

Dunia

Meta disaman atas dakwaan algoritma Facebook, Instagram jejas kanak-kanak

Setakat ini, Meta belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen mengenai saman tersebut. - Foto fail/REUTERS
Setakat ini, Meta belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen mengenai saman tersebut. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Meta Platforms disaman di Australia atas dakwaan platform Facebook dan Instagram mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya serta menyebabkan ketagihan.
  • Saman kelas difailkan oleh lapan plaintif yang mendakwa mengalami kemudaratan ketika berusia bawah 18 tahun akibat penggunaan platform tersebut.
  • Mahkamah mengeluarkan perintah larangan penerbitan bagi melindungi identiti plaintif dan kandungan penuh tuntutan yang difailkan.

SYDNEY: Syarikat teknologi Meta Platforms, pemilik Facebook dan Instagram, berdepan tindakan saman kelas di Australia atas dakwaan platform media sosialnya mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya serta menggunakan algoritma yang menyebabkan pengguna muda ketagih, lapor Reuters.

Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Australia oleh firma guaman MinterEllison bagi pihak lapan plaintif yang mendakwa mereka mengalami kemudaratan ketika berusia bawah 18 tahun akibat penggunaan Facebook dan Instagram.

Menurut Reuters, kes berkenaan berpotensi menjadi tindakan undang-undang pertama di Australia yang secara langsung menuduh platform media sosial memudaratkan pengguna, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Plaintif turut menuntut pampasan daripada Meta berhubung dakwaan berkenaan.

Setakat ini, Meta belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen mengenai saman tersebut.

Pada Isnin, mahkamah mengeluarkan perintah larangan penerbitan yang menghalang media melaporkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti plaintif serta kandungan penuh tuntutan yang difailkan.

Kes itu muncul ketika hubungan antara Australia dan syarikat teknologi gergasi semakin tegang susulan pengenalan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun, selain cadangan peraturan baharu yang membolehkan pengguna mematikan kandungan yang dipilih menerusi algoritma pada platform mereka.

Pada Ogos lalu, Meta bersetuju membayar AS$18 bilion bagi menyelesaikan tuntutan yang difailkan oleh hampir semua negeri di Amerika Syarikat berhubung dakwaan bahawa syarikat itu mereka bentuk platform media sosial yang boleh menyebabkan kanak-kanak ketagih.

 

 

Must Watch Video

Advertisement