DUNIA

Mexico serah 37 anggota kartel jenayah kepada AS

Bernama 21/01/2026 | 08:20 MYT
Mexico mencapai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS bagi memastikan tiada seorang pun daripada individu yang dipindahkan itu akan berdepan hukuman mati. - Gambar hiasan/ Reuters
MEXICO CITY: Mexico pada Selasa menyerahkan 37 individu yang disyaki anggota organisasi jenayah kepada Amerika Syarikat (AS) dalam satu operasi bersepadu antara kedua-dua negara dan disahkan oleh Setiausaha Keselamatan dan Perlindungan Rakyat Mexico, Omar Garcia Harfuch, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Mexico menyerahkan 37 individu disyaki anggota organisasi jenayah kepada AS dalam operasi bersepadu untuk mengatasi ancaman keselamatan negara.
  • Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama dua hala dan tanpa hukuman mati, dengan individu dibawa ke pelbagai bandar di AS menggunakan pesawat tentera Mexico.
  • Keserahan individu termasuk yang berkaitan dengan kartel Jalisco New Generation, Northeast, Pacific, dan Beltran Leyva, membawa kepada penurunan keganasan di Mexico.


Beliau berkata tahanan itu yang ditempatkan di beberapa penjara berbeza di seluruh Mexico, menimbulkan "ancaman sebenar terhadap keselamatan negara."

"Operasi ini dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Negara dan melalui mekanisme kerjasama dua hala dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan negara," kata Harfuch di platform media sosial X.

Harfuch berkata Mexico mencapai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS bagi memastikan tiada seorang pun daripada individu yang dipindahkan itu akan berdepan hukuman mati.

Menurut beliau tahanan dibawa ke Washington, Houston, New York, Pennsylvania, San Antonio dan San Diego menggunakan tujuh pesawat yang dikendalikan oleh angkatan tentera Mexico.

Beliau berkata dalam operasi itu, seramai 92 penjenayah berprofil tinggi dihantar ke AS sepanjang pentadbiran semasa dan mereka "tidak lagi mampu mencetuskan keganasan di negara kita."

Media tempatan melaporkan yang antara individu yang diserahkan termasuk mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan kartel Jalisco New Generation, Northeast, Pacific dan Beltran Leyva.

-- BERNAMA



#Mexico #Amerika Syarikat #perjanjian keselamatan #kartel dadah