Pameran Pendidikan Tinggi Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian Higher Education Showcase (MHES) 2017 menjadi platform pembinaan koloborasi erat di antara agensi pendidikan tinggi Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Washington, Prof Madya Dr Md. Amin Md Taff berkata, ia termasuk di dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan juga kerjasama pendidikan di antara kedua negara.

"Di sebalik kontroversi sekatan imigresen yang dikuatkuasakan oleh Presiden Trump, MHES 2017 berlangsung dengan meriah dari 23 sehingga 24 Februari lepas di Kedutaan Besar Malaysia, Washington.

"Program promosi pendidikan tinggi negara yang dianjurkan Education Malaysia Washington dan Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat ini mendapat kerjasama erat dari Education Malaysia Global Services (EMGS), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Washington International Education Council (WIEC).

"MHES 2017 adalah edisi kelima semenjak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2011," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

MHES 2017 dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Kira-kira 300 orang wakil IPT Amerika Syarikat, pelajar Malaysia dan agensi pendidikan hadir pada majlis perasmian tersebut.

Di dalam ucapannya, Zulhasnan menekankan tentang kepentingan kerjasama dua hala pendidikan tinggi di antara Malaysia dan AS selain menggalakkan wakil Universiti AS untuk mempertingkatkan kehadiran pelajar AS ke Malaysia melalui program mobiliti pelajar.

Sementara itu, semasa sesi pembentangan, Md. Amin menyatakan kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia yang bertaraf dunia, berfokuskan kemahiran industri serta penguasaan Bahasa Inggeris yang amat baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut menggalakkan usahasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Amerika Syarikat melalui program mobiliti pelajar, pertukaran kepakaran dan penyelidikan.

Selain promosi pendidikan tinggi negara, MHES 2017 turut memaparkan keunikan Malaysia melalui pertunjukan tarian tradisional, makanan tempatan dan tayangan video.

Selain itu, Malaysian Palm Oil Corporation Amerika Syarikat turut menaja lebih 1,500 cucuk satay yang dibakar dengan minyak sawit.

Kata Md. Amin, dengan strategi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), MHES 2017 telah mendapat sokongan jitu dari pelbagai agensi pendidikan seperti Pejabat Education Malaysia Chicago, Los Angeles, Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang beroperasi di seluruh Amerika Syarikat.

"Kerjasama jitu antara pelbagai agensi pendidikan ini telah menghasilkan lebih 16 kerjasama pendidikan di antara Malaysia dan Amerika Syarikat samada dalam bidang penyelidikan, mobiliti dan penawaran biasiswa selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global menjelang 2025," ujarnya.