DUNIA

Microsoft hadkan akses tentera Israel kepada perkhidmatan AI, pengkomputeran awan

Bernama 26/09/2025 | 15:42 MYT
Microsoft ingin memastikan teknologinya tidak digunakan untuk pengawasan besar-besaran terhadap orang awam Palestin. - Reuters
SAN JOSE : Microsoft tidak lagi menyediakan beberapa perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) kepada Kementerian Pertahanan Israel, kata presiden syarikat itu Brad Smith, dalam satu kenyataan lewat Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Smith berkata Microsoft ingin memastikan teknologinya tidak digunakan untuk pengawasan besar-besaran terhadap orang awam Palestin.

"Kami tidak menyediakan teknologi untuk memudahkan pengawasan besar-besaran terhadap orang awam. Prinsip ini kami pegang di seluruh dunia dan kami tegaskan berulang kali selama lebih dua dekad," katanya.

Keputusan ini dibuat selepas laporan oleh akhbar The Guardian pada 6 Ogos yang mendakwa sebuah unit tentera Israel menggunakan platform awan Microsoft Azure untuk menyimpan data daripada panggilan telefon.

Laporan itu menyatakan bahawa data itu dikumpulkan melalui pengawasan besar-besaran terhadap orang awam di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Microsoft kemudian mengumumkan yang satu siasatan dalaman dibuat bagi menyiasat dakwaan itu.

Menurut Smith, semakan masih dijalankan, namun syarikat "menemui bukti yang menyokong sebahagian laporan The Guardian." Penemuan itu berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan AI dan akses kepada kapasiti simpanan Azure di Belanda, katanya.

Smith berkata keputusan ini selaras dengan komitmen Microsoft untuk memastikan perkhidmatannya tidak digunakan untuk pengawasan awam secara besar-besaran. Keputusan itu juga dimaklumkan kepada Kementerian Pertahanan Israel.

-- BERNAMA

#Microsoft #teknologi AI #Israel #pengkomputeran awan #Palestin