DUNIA

Microsoft hentikan khidmat tentera Israel susulan dakwaan intip rakyat Palestin

Agensi 25/09/2025 | 23:10 MYT
Microsoft menegaskan, syarikat itu tidak pernah membekalkan teknologi “bagi tujuan pemantauan besar-besaran terhadap orang awam” dan prinsip itu diguna pakai di seluruh dunia. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Microsoft telah menghentikan beberapa perkhidmatan kepada tentera Israel selepas siasatan mendapati syarikat itu didakwa menjadi penyedia teknologi bagi operasi pemantauan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

Dalam kenyataan di blog rasmi syarikat, Presiden Microsoft, Brad Smith memaklumkan, syarikat berkenaan telah “menghentikan dan menamatkan set perkhidmatan kepada sebuah unit di bawah Kementerian Pertahanan Israel.”

Tindakan itu diambil susulan laporan penyiasatan The Guardian dan majalah Israel, +972, pada awal Ogos lalu yang mendedahkan unit perisikan tentera Israel, Unit 8200, menggunakan teknologi pengkomputeran awan Microsoft Azure bagi menyimpan berjuta-juta panggilan telefon rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Microsoft pada 15 Ogos lalu mengumumkan pihaknya memulakan semakan dalaman terhadap dakwaan tersebut.

Smith menegaskan, syarikat itu tidak pernah membekalkan teknologi “bagi tujuan pemantauan besar-besaran terhadap orang awam” dan prinsip itu diguna pakai di seluruh dunia.

Hasil semakan, kata Smith, melibatkan rekod perniagaan, penyata kewangan, dokumen dalaman serta rekod lain tanpa mengakses kandungan data yang disimpan.

Syarikat berkenaan memaklumkan, pihaknya menemui bukti yang menyokong beberapa dapatan laporan media, termasuk penggunaan kapasiti storan Azure di Belanda serta penggunaan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, Microsoft telah memaklumkan kepada Israel mengenai keputusan untuk “menghentikan dan menamatkan langganan tertentu Kementerian Pertahanan Israel, termasuk penggunaan storan awan, perkhidmatan AI serta teknologi berkaitan.”

Seorang pegawai keselamatan Israel ketika mengulas berkata, langkah tersebut “tidak menjejaskan keupayaan operasi Angkatan Pertahanan Israel (IDF).”

Microsoft menegaskan semakan dalaman berhubung isu itu masih diteruskan.



#Microsoft #Microsoft Azure #pengkomputeran awan #Israel intip rakyat Palestin #Brad Smith #Angkatan Pertahanan Israel