Skip to main content

Dunia

AS minta Iran lupuskan tapak nuklear, serah simpanan uranium diperkaya - Laporan

71749911553_irannuklear.jpg
Loji Pengayaan Bahan Api Fordow terletak jauh di dalam sebuah gunung berhampiran Qom. Ia telah dibom dengan teruk pada Jun 2025 oleh pasukan tentera AS, namun masih kekal sebagai aset penting walaupun mengalami kerosakan. - Foto fail/REUTERS

ISTANBUL: Perunding Amerika Syarikat (AS) memasuki pusingan ketiga rundingan nuklear dengan Iran di Geneva pada Khamis dengan meminta Tehran melupuskan kemudahan nuklear utamanya serta menyerahkan keseluruhan simpanan uranium diperkaya kepada Washington sebagai sebahagian daripada perjanjian tanpa tarikh luput, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Amerika.

Menurut The Wall Street Journal yang memetik pegawai, pihak AS dijangka mendesak Iran menutup tiga tapak nuklear utamanya di Fordow, Natanz dan Isfahan, serta memindahkan baki uranium diperkaya yang dianggarkan kira-kira 10,000 kilogram kepada AS.

Advertisement

Washington turut menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti bersifat kekal tanpa klausa tamat tempoh.

Mengenai pengayaan uranium, AS mengamalkan dasar toleransi sifar, namun perunding Amerika mungkin bersedia membenarkan Iran mengendalikan sebuah reaktor di Tehran bagi pengayaan pada tahap sangat rendah khusus untuk tujuan perubatan, menurut laporan akhbar itu.

Pada Rabu, Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyatakan yang Iran ketika ini tidak memperkaya uranium.

Bagaimanapun, Washington hanya menawarkan pelepasan sekatan minimum pada peringkat awal, dengan kemungkinan konsesi tambahan sekiranya Iran menunjukkan pematuhan berterusan dari semasa ke semasa, menurut pegawai AS kepada media berkenaan.

Portal berita Axios melaporkan yang rundingan di Geneva diadakan dalam dua format iaitu secara tidak langsung dan secara langsung antara perunding AS dan Iran - walaupun kedua-dua pihak belum mengesahkan secara terbuka saluran langsung itu.

AS turut memberi isyarat sedikit kelonggaran terhadap permintaan Iran untuk mengekalkan hak pengayaan, tetapi hanya jika Tehran dapat membuktikan tiada laluan ke arah pembangunan senjata nuklear.

Walaupun Washington akhirnya mahu Iran mengurangkan program peluru berpandu balistik serta sokongan kepada proksi serantau, semua isu itu buat masa ini diketepikan bagi memberi tumpuan kepada isu nuklear.

Sesi di Geneva adalah yang paling lama daripada tiga pusingan rundingan yang diadakan di bawah pengantaraan Oman, berlangsung lebih tiga setengah jam dan dijangka bersambung selepas rehat, menurut laporan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei menyifatkan suasana rundingan sebagai “intensif dan serius,” sambil berkata kedua-dua pihak mengemukakan “cadangan signifikan dan praktikal” mengenai isu nuklear serta pelepasan sekatan, namun beliau menyebut terdapat “kenyataan bercanggah” oleh beberapa pegawai AS. Tiada kenyataan segera daripada pihak AS.

--BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 

Must Watch Video