DUNIA
Minuman beralkohol tercemar ragut 9 nyawa di Jordan, 17 dirawat

Ujian makmal mengesahkan kehadiran metil alkohol - bahan toksik yang tidak sesuai untuk diminum manusia - dalam sampel biologi mangsa serta produk yang dirampas. - Gambar hiasan/Unsplash
AMMAN: Sembilan orang maut manakala 17 lagi sedang dirawat di hospital akibat keracunan metanol di Jordan, lapor Xinhua memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Direktorat Keselamatan Awam (PSD) pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat susulan siasatan ke atas beberapa kes keracunan yang dilaporkan pada Khamis lepas di Wilayah Zarqa, timur laut Jordan.
Jurucakap PSD, Amer Sartawi berkata pada Ahad beberapa individu mengalami simptom seperti loya, pening dan sesak nafas selepas meminum minuman beralkohol tercemar.
Siasatan mendapati alkohol mengandungi bahan toksik itu berasal daripada sebuah kilang yang telah mengedarkan produk berkenaan dengan pelbagai jenama, katanya.Beliau berkata ujian makmal mengesahkan kehadiran metil alkohol - bahan toksik yang tidak sesuai untuk diminum manusia - dalam sampel biologi mangsa serta produk yang dirampas.
Kilang terbabit telah diarahkan tutup dan beberapa suspek telah ditahan untuk tindakan undang-undang, menurut agensi berita Petra. Pihak berkuasa juga telah melancarkan langkah menarik semula produk tercemar itu daripada pasaran.
Metanol, atau alkohol kayu, biasanya digunakan untuk tujuan industri dan boleh menyebabkan kesan kesihatan serius jika diminum, termasuk buta, kegagalan organ dan kematian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami