INTERNATIONAL
Misi berjalan kaki ke Makkah batal selepas kaki bengkak, keluarga suruh balik
Misi mereka berakhir di di Cilegon, Banten. - Foto/ Sinar Harian/ Agensi
Dua lelaki dari Madura yang bercita-cita untuk menunaikan ibadah haji dengan berjalan kaki terpaksa menghentikan perjalanan mereka selepas salah seorang daripada mereka mengalami kaki bengkak yang serius.
Media tempatan melaporkan baru-baru ini, bahawa perjalanan mereka yang bermula dengan semangat tinggi itu, bagaimanapun, berakhir di Cilegon, Banten, setelah Muhammad Muheb Alfarizi, 35, mengalami masalah kesihatan yang memaksanya untuk pulang.
Muheb bersama rakannya, Anas Mahfud, 40, memulakan perjalanan menuju Makkah pada 1 Februari lalu.
Mereka berdua bertekad untuk sampai ke tanah suci dengan berjalan kaki dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.
Mereka membawa bendera Indonesia sebagai simbol semangat, dan pada awalnya merancang untuk menguruskan pasport dan visa di sempadan Singapura.
Namun, hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan terhenti selepas Muheb mengalami kaki bengkak yang serius.
Menurut Muheb dalam keterangan yang dikongsikan di Instagram @mood.jakarta, "Sebenarnya saya ingin teruskan perjalanan, tetapi kesihatan saya menjadi pertimbangan utama."
Selain daripada masalah kesihatan, Muheb turut mengakui tiada sikap kebersamaan antara dia dan Anas, serta desakan kuat daripada keluarga untuk segera pulang antara punca lain dia menghentikan perjalanan berkenaan.
Dalam pada itu mereka turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang perjalanan.
Kisah mereka ini turut mendapat pelbagai reaksi warga maya yang mana ada yang menyifatkan bahawa perjalanan panjang seperti itu berisiko tinggi tanpa persiapan yang cukup, manakala ada juga yang merasakan bahawa impian tersebut hampir mustahil untuk dicapai tanpa perancangan yang rapi.
"Alhamdulillah, jangan diteruskan, kasihan nanti terlantar di negara lain kerana persiapan yang tidak mencukupi," tulis seorang warganet. - Sinar Harian memetik agensi