Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Misi FFC dan TMTG: “Orang Israel, paling jahat yang pernah saya jumpa” - Syafik Shukri

Shafiqa Azami 10/10/2025 | 13:45 MYT
Syafik berkata, tentera Israel diibarat manusia paling kejam di muka bumi selepas dua hari menjadi tahanan di Penjara Ketziot, Israel. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kekejaman tentera Israel kepada semua aktivis yang ditahan semasa Misi Kemanusiaan Freedom Flotiklla Coalition (FFC) disifatkan pada tahap maksimum dan tidak tergambar di dalam fikiran manusia.

Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil berkata, mereka diibarat manusia paling kejam di muka bumi selepas dua hari menjadi tahanan di Penjara Ketziot, Israel.

Tegasnya, ia terbukti apabila beliau dan aktivis lain dinafikan hak asasi, diperlakukan dengan kasar, malah dikurung tanpa makanan dan air sepanjang tempoh tahanan.

“Kami dinafikan makanan, air, malah layanan mereka sangat kejam. Dari imigresen, polis hingga petugas penjara semuanya kasar, tiada belas kasihan.

"Jujur saya katakan, orang Israel adalah manusia paling jahat yang pernah saya jumpa,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Turkiye, pada Jumaat.

Wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri selamat tiba di Turkiye

Syafik menceritakan detik cemas ketika ditahan tentera Israel selepas kapal FFC yang disertainya dirampas di perairan antarabangsa menuju ke Gaza pada Rabu (8 Oktober), ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Beliau berkata, sebaik komunikasi kapal terputus, helikopter tentera Israel mula berlegar di ruang udara sebelum pasukan itu mengarahkan semua aktivis dan kru membuang telefon serta barangan peribadi ke laut.

“Kami duduk berjam-jam tanpa makanan, tanpa navigasi, terkurung dalam kapal hampir 15 jam. Saya mengalami mabuk laut yang teruk dan dinafikan hak asasi, malah setiap detik terasa seperti penyeksaan,” ujarnya.

Syafik turut berkongsi pengalaman dibawa ke pelabuhan Ashdod dan kemudiannya ke penjara Israel, di mana beliau bersama aktivis lain diikat, ditutup mata, dan dikurung dalam keadaan sejuk tanpa akses ke tandas.

"Pengalaman pahit itu membuka mata terhadap penderitaan sebenar rakyat Gaza.

“Kalau kami yang ditahan dua malam pun dah terasa azabnya, saya tak dapat bayangkan bagaimana rakyat Gaza mampu bertahan bertahun-tahun di bawah kekejaman seperti ini,” jelasnya.

Beliau turut mengakui gagal menghantar mesej terakhir kepada keluarganya dan pasukan Astro AWANI di Malaysia sebelum ditahan, selepas sambungan internet kapal terputus sepenuhnya sejurus sebelum serangan.

“Saya cuma nak beritahu mak saya yang saya selamat, tapi tak sempat. Kami dikepung lebih 30 askar bersenjata penuh terlalu ramai untuk kami lawan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dibebaskan pada Jumaat (10 Oktober).

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan kesemua mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada jam 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).






#Israel #Gaza #Kementerian Luar #mesej terakhir