Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
DUNIA

Misi FFC: Peserta seru Malaysia, dunia terus beri perhatian terhadap nasib Gaza

Seth Akmal 07/10/2025 | 10:20 MYT
Dr Fauziah berkata misi FFC ini amat penting bagi menyampaikan bantuan simbolik berupa makanan, susu bayi formula, serta ubat-ubatan kepada sahabat dan saudara kita di Gaza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat dunia supaya terus memberi perhatian terhadap Gaza dan mengecam kekejaman Israel.


Ringkasan AI
  • Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa agar terus memberi perhatian terhadap Gaza serta mengadakan protes sekiranya kapal dipintas oleh tentera Israel.
  • Dr Fauziah Mohd Hassan menekankan kepentingan misi kemanusiaan ini untuk menyampaikan bantuan simbolik seperti makanan, susu bayi dan ubat-ubatan, serta menyeru kerajaan dunia memberi tekanan kepada Israel agar memberikan laluan selamat.
  • Ketua delegasi Prof Mohd Alauddin Mohd Ali memaklumkan bahawa jika misi FFC x Thousand Madleens to Gaza berjaya, aktivis akan kekal di Gaza selama dua hari; misi disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, antara permintaan delegasi itu yang disampaikan melalui Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hassan, ialah supaya rakyat mengadakan protes jika kapal itu dipintas Israel.

"Dr Fauziah yang berada di atas kapal berkenaan menyeru agar perhatian dunia terus diberikan terhadap tindakan Israel.

“Semua lapisan masyarakat harus bangkit memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan rakyat Palestin khususnya di Gaza,” katanya semasa sesi taklimat khas FFC di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Fauziah yang turut membuat penampilan melalui panggilan video semasa sidang media tersebut, berharap agar seluruh dunia, termasuk kerajaan negara lain, terus memberi tekanan kepada Israel supaya memberikan laluan selamat kepada misi kemanusiaan ke Gaza.

“Misi ini amat penting bagi menyampaikan bantuan simbolik berupa makanan, susu bayi formula, serta ubat-ubatan kepada sahabat dan saudara kita di Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience, Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, berkata seandainya misi FFC x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) berjaya, pihak aktivis akan kekal berada di Gaza selama dua hari.

Kapal Conscience itu turut membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.

Lapan wakil Malaysia dalam kapal itu yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept termasuk Mohd Alauddin dan Dr Fauziah selain Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro AWANI Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi doktor, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Untuk rekod, misi flotilla terdahulu pernah dipintas tentera Israel termasuk kapal Zaytouna (2016), Al-Awda (2018), Conscience, Handala dan Madleen (2024), yang menyaksikan penahanan sukarelawan serta tokoh antarabangsa dari lebih 40 negara.


#Israel #FFC #flotila #Genosid Gaza