[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Misi Global Sumud Flotilla bakal masuk 'zon merah' dalam tempoh 28 jam

Seth Akmal 30/09/2025 | 08:35 MYT
Sani Araby berkata, semua pihak telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa misi pelayaran ini. - Foto Astro AWANI
SEPANG: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki 'zon merah' yang sangat berisiko dipintas tentera Israel, dalam tempoh 28 jam, iaitu kira-kira jam 7 malam waktu Malaysia esok.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata semua pihak telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa misi pelayaran.

Setakat ini, semua kapal flotila disahkan berjaya memasuki 'zon kuning' pada jam 3 petang waktu Malaysia.

“Pihak sekretariat mengambil langkah bersiap sedia bersama dengan kerajaan Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa pelayaran misi ini,” katanya, dalam sidang media di sini, hari ini.

Sani Araby turut memohon semua pihak termasuk penyokong misi pelayaran itu, agensi media, keluarga dan masyarakat terus memberi sokongan kepada usaha berkenaan.

Beliau juga menyeru semua pihak tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau cubaan halus oleh pihak rejim Zionis untuk melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini.

Zon merah adalah kawasan berisiko tinggi yang terletak berhampiran perairan Gaza, iaitu kawasan yang dikawal ketat oleh rejim Zionis.

Kawasan itu merupakan titik kritikal di Laut Mediterranean di mana kapal-kapal bantuan kemanusiaan seperti GSF berpotensi berdepan sekatan, intimidasi atau serangan oleh tentera laut Israel.

Sebelum memasuki zon merah, flotilla perlu melalui zon kuning, iaitu kawasan berjaga-jaga sejauh kira-kira 300 batu nautika dari pesisir Gaza, yang menandakan permulaan risiko keselamatan meningkat.

Zon merah dianggap sebagai garisan tidak rasmi di mana misi kemanusiaan seperti GSF sering berdepan cabaran besar dalam usaha menembusi sekatan laut Israel untuk menghantar bantuan terus ke Gaza.

“Melihat kepada corak yang terakhir mereka berada di zon kuning, zon yang perlu kita beri perhatian kita dapat menjangkakan satu kemenangan moral bukan sahaja di peringkat Malaysia tetapi dunia.

“Bangkitnya seluruh masyarakat dunia untuk bercakap di media sosial dan bercakap di Parlimen masing-masing dan itu mengambarkan bahawa peluang untuk kita masuk ke Gaza itu semakin tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, Sani Araby turut mengesahkan dua kapal Turkiye iaitu Sunflower dan Australe bakal bergabung dengan misi pelayaran GSF.

“Insya-Allah, setakat ini sekarang tiada laporan yang mencurigakan berlaku,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik, manakala bantuan kemanusiaan daripada Turkish Red Crescent telah disalurkan melalui kapal laut tentera Turkiye.

SNCC turut menyiarkan secara langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan.

Dalam pada itu, dua kapal flotila iaitu Nusantara (Tunisia) dan Taigete (Itali) mengalami kerosakan serius dan tidak dapat meneruskan pelayaran.

Kapal Sirius dan Free Willy dilaporkan berjaya dibaiki, manakala kapal Fair Lady kini ditunda oleh kapal Estrella Manuel.

Semua langkah kesiapsiagaan telah diambil sepanjang pelayaran, serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak terpengaruh dengan spekulasi yang boleh melemahkan solidariti sejagat.



#Global Sumud Flotilla #zon merah #Genosid Gaza #Malaysia