Skip to main content

Dunia

Misi pengaman dalam risiko ekoran jumlah anggota di paras terendah sejak 25 tahun

41732697780_unifillubnan.jpg
Kajian mendapati jumlah anggota yang ditempatkan dalam operasi keamanan menurun ke tahap paling rendah sekurang-kurangnya sejak 2000 menjelang akhir 2025. - Gambar fail/Arkib

ISTANBUL: Misi pengaman global kini berdepan risiko besar apabila jumlah anggota yang terlibat mencatat paras terendah dalam tempoh 25 tahun, menurut kajian yang dikeluarkan pada Isnin oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Kajian itu menyatakan bahawa “ketegangan geopolitik, tekanan politik dan krisis pembiayaan sedang menjejaskan kelangsungan operasi pengaman pelbagai hala.”

Menurut Anadolu Ajansi, kajian mendapati jumlah anggota yang ditempatkan dalam operasi keamanan menurun ke tahap paling rendah sekurang-kurangnya sejak 2000 menjelang akhir 2025, dengan hanya 78,633 anggota ditempatkan di seluruh dunia. Angka itu juga 49 peratus lebih rendah berbanding  2016.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penempatan anggota terus menunjukkan trend penurunan sepanjang dekad ini, dengan penurunan tahunan paling ketara berlaku pada 2025 iaitu sebanyak 17 peratus.

“Jika keadaan ini berterusan, kita mungkin akan menyaksikan kelemahan ketara dalam pengurusan konflik pelbagai hala serta institusi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hampir diketepikan sepenuhnya akibat gabungan faktor pembiayaan, politik dan geopolitik,” kata Jair van der Lijn, pengarah Program Operasi Keamanan dan Pengurusan Konflik SIPRI.

Beliau turut memberi amaran bahawa apabila negara-negara mula meninggalkan norma yang lama diamalkan, konflik boleh menjadi lebih kerap berlaku dan memberi kesan lebih luas kepada orang awam.

Laporan turut menunjukkan sebanyak 58 operasi keamanan pelbagai hala aktif di 34 negara dan wilayah di seluruh dunia pada 2025, iaitu kurang tiga berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, laporan berkenaan turut menekankan krisis pembiayaan operasi keamanan PBB apabila penderma utama gagal menjelaskan sumbangan yang ditetapkan tepat pada masanya atau sepenuhnya. Akibatnya, misi pengaman PBB berdepan kekurangan dana sebanyak AS$2 bilion pada Julai 2025.

Kekurangan dana itu dilaporkan memaksa beberapa misi berkenaan mengurangkan jumlah anggota.

Laporan itu turut mengingatkan bahawa organisasi serantau seperti Kesatuan Afrika, Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) turuy berdepan masalah kekurangan dana serta jalan buntu dalam pembuatan keputusan mengenai operasi keamanan akibat persaingan geopolitik.

“Organisasi serantau kekurangan keupayaan utama untuk melaksanakan pembinaan keamanan bersepadu yang berjaya, selain turut dibelenggu kekurangan dana dan kegagalan mencapai persetujuan seperti yang dialami PBB,” kata Claudia Pfeifer Cruz, penyelidik kanan badan pemikir itu.

“Apabila pengurusan konflik yang diterajui PBB semakin berkurangan, ia meninggalkan jurang yang semakin besar dan tidak mampu diisi oleh model alternatif,” katanya.

Cruz menegaskan yang negara-negara perlu melangkaui sekadar menyatakan sokongan dengan menyediakan pembiayaan yang mampan serta mewujudkan ruang politik yang diperlukan bagi memastikan tindak balas pelbagai hala dapat dilaksanakan secara berkesan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement