DUNIA
Miss World 2025 Opal Suchata harap kemenangan beri inspirasi kepada golongan muda Thailand

Wakil Thailand, Opal Suchata Chuangsri dinobatkan sebagai Miss World 2025 yang diadakan Hyderabad, India, pada 31 May. - Foto Reuters
BANGKOK: Wakil dari Thailand, Opal Suchata Chuangsri yang dinobatkan sebagai Miss World 2025 berharap kemenangannya akan memberi inspirasi kepada golongan muda negara itu untuk tidak pernah putus asa berusaha.
Opal menjawab ucapan tahniah yang dimuat naik oleh Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra di media sosial berkata, kejayaan beliau akan memberi inspirasi kepada semua anak muda Thailand untuk berani bermimpi dan berusaha merealisasikan setiap impian menjadi kenyataan.
Pada Ahad, Paetongtarn mengucapkan terima kasih kepada Opal dan bintang badminton Kunlavut View Vitidsarn kerana membawa kejayaan kepada Thailand.
“Kejayaan kamu berdua akan memberi inspirasi kepada belia Thailand dan rakyat Thailand secara amnya,” kata perdana menteri Thai itu.Menurut Paetongtarn, kedua-dua individu ini telah membuka lembaran baharu dalam sejarah negara Thailand.
Opal merupakan rakyat Thailand pertama yang dinobatkan sebagai Miss World dalam sejarah 72 tahun pertandingan itu, manakala Kunlavut merupakan pemain badminton lelaki pertama dari Thailand yang berjaya mencapai kedudukan nombor satu dunia.
Kedudukan baharu Kunlavut itu akan diumumkan secara rasmi oleh Persekutuan Badminton Dunia pada Selasa.
Sementara itu, pemenang Miss World 2025 itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Thailand atas sokongan dan kasih sayang yang diberikan kepada beliau dan Kunlavut, serta berjanji akan terus mengharumkan nama negara dalam semua aktiviti yang berkaitan dengan gelaran tersebut. -- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami