Mitsubishi Materials membuat permohonan maaf secara rasmi kepada semua tahanan perang Amerika Syarikat (AS) yang menjadi buruh paksa di lombong-lombong Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua sekitar tujuh dekad lalu.

Pada lima tahun lalu, kerajaan Jepun telahpun memohon maaf kepada tahanan perang AS, namun inisiatif daripada Mitsubishi itu merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan sebuah syarikat Jepun.

Eksekutif Kanan Mitsubishi Hikaru Kimura melakukan 'permohonan maaf penuh penyesalan' itu kepada James Murphy, 94, dari California.

Murphy merupakan salah satu daripada tahanan perang yang masih hidup selepas menjadi buruh paksa di Negara Matahari Terbit itu ketika perang sedang memuncak.

Murphy telah menerima permohonan maaf berkenaan yang disifatkan sebagai ikhlas dan merendah diri.

"Selepas 70 tahun perang berakhir, tahanan perang yang telah diperah tenaga dalam syarikat-syarikat Jepun hanya meminta sesuatu yang ringkas – mereka mahukan permohonan maaf sahaja.

"Kami berharap tindakan pihak Mitsubish tampil bersama permohonan maaf ini dapat membuka jalan bagi beberapa lagi syarikat perlombongan dan kilang lain yang suatu masa dahulu memaksa tahanan perang AS bekerja tanpa kerelaan mereka," ujarnya.

Kimura dan wakil-wakil syarikat lain telah bertemu lebih awal dengan Murphy dan ahli keluarga bekas-bekas tahanan perang.

"Dalam pertemuan itu, wakil syarikat-syarikat berkenaan telah menzahirkan penyesalan dan memohon maaf kerana memeras tahanan perang untuk bekerja di lombong-lombong yang dimiliki Mitsubishi," katanya.

Bercakap melalui seorang penterjemah, Kimura memberitahu bahawa terdapat hampir 900 orang tahanan perang pernah bekerja sebagai buruh di empat buah lombong di Jepun.

Ribuan lagi tahanan perang AS telah dilayan seperti hamba di banyak firma-firma Jepun.

"Persekitaran tempat kerja itu sangat dahsyat dan kumpulan tahanan perang sengaja dibiar menjalani hidup yang sukar.

"Sebagai syarikat yang menguruskan kerja-kerja perlombongan, kami di Mitsubishi tidak dapat lari daripada tanggungjawab etika dalam tragedi silam ini," ujar Kimura.

Permohonan maaf tersebut telah dibuat dalam sebuah majlis di Muzium Toleransi Pusat Simon Wiesenthal, Los Angeles. Penubuhan pusat tersebut ditujukan untuk hal-hak mangsa Holocaust (pemusnahan besar-besaran kaum Yahudi).