Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Bermula 30 September – PM Anwar
DUNIA

Modi gesa rakyat India berhenti guna produk asing ketika hubungan dengan AS tegang

Agensi 21/09/2025 | 23:10 MYT
Gambar fail menunjukkan Modi (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Trump semasa pertemuan kedua-dua pemimpin itu di White House, Washington, Amerika Syarikat pada 13 Februari 2025. - Gambar fail Reuters
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada Ahad menggesa rakyatnya supaya berhenti menggunakan produk buatan luar negara dan sebaliknya memilih barangan tempatan, dalam usaha memperkukuh kempen berdikari ketika hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) semakin meruncing.

Gesaan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan import dari India.

Susulan itu, Modi menekankan kepentingan penggunaan barangan “Swadeshi” atau buatan India.

Penyokongnya juga melancarkan kempen memboikot jenama-jenama Amerika seperti McDonald’s, Pepsi dan Apple yang begitu popular dalam kalangan pengguna India.

“Banyak produk yang kita gunakan setiap hari sebenarnya buatan asing, tetapi kita tidak sedar... kita perlu singkirkan produk-produk ini,” kata Modi dalam perutusan khas kepada rakyat menjelang pelaksanaan pengurangan cukai pengguna secara besar-besaran pada Isnin.

“Kita harus membeli produk yang dihasilkan di India,” tambah beliau tanpa menamakan mana-mana negara secara khusus.

Dengan populasi mencecah 1.4 bilion orang, India menjadi pasaran utama bagi produk pengguna dari AS, yang sering diperoleh menerusi peruncit dalam talian seperti Amazon.com.

Malah, pengaruh jenama Amerika sudah menembusi bandar-bandar kecil di negara itu.

Modi turut menggesa para peniaga supaya memberi keutamaan kepada penjualan produk tempatan, sambil menegaskan langkah tersebut mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, semakin banyak syarikat di India meningkatkan promosi terhadap barangan tempatan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal dijangka berkunjung ke Washington dalam masa terdekat untuk rundingan perdagangan, dalam usaha meredakan ketegangan hubungan dua hala. - Reuters



#India #boikot produk asing #sokong barangan tempatan #Narendra Modi #hubungan India-AS tegang