NEW YORK: Montana menjadi negeri pertama AS mengharamkan aplikasi media sosial TikTok yang dibangunkan China, apabila gabenor Republikan Greg Gianforte menandatangani rang undang-undang pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Untuk melindungi data peribadi penduduk Montana daripada Parti Komunis China, saya telah mengharamkan TikTok di Montana," ciap Gianforte selepas menandatangani rang undang-undang itu.

Peraturan baharu itu melarang gedung aplikasi App Store daripada menawarkan aplikasi perkongsian video itu mulai 1 Jan 2024 selain dan menghalang TikTok daripada beroperasi sebagai perniagaan di negeri berkenaan.

Selagi platform media sosial itu masih tersedia, penyedia aplikasi perlu membayar denda US$10,000 setiap hari. Pengguna bagaimanapun tidak akan didenda dan mereka yang sudah mempunyai aplikasi itu pada peranti mereka tidak terjejas.

TikTok masih belum memberi maklum balas terhadap perubahan undang-undang itu. Namun tindakan undang-undang yang mencabar larangan berdasarkan hak kebebasan bersuara, mungkin difailkan.

Dimiliki oleh syarikat China ByteDance, TikTok telah pun diharamkan pada peranti milik kerajaan di Kanada, Australia, New Zealand, Britain dan AS, di tengah-tengah kebimbangan akan keselamatan siber.

Aplikasi itu mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna di seluruh dunia dan digunakan secara meluas di AS dan Eropah, mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa China dan agensi risikan mungkin menggunakan aplikasi itu untuk mengumpul maklumat daripada pengguna atau menyebarkan pengaruh. Syarikat itu menafikan dakwaan sedemikian.

-- BERNAMA