DUNIA

Moscow bertindak balas terhadap sekatan terbaharu EU

Bernama 01/11/2025 | 06:45 MYT
Rusia meluaskan larangan masuk terhadap wakil institusi dan negara Eropah sebagai tindak balas kepada pakej ke-19 sekatan anti-Rusia oleh Kesatuan Eropah. -Gambar fail/Reuters
MOSCOW: Rusia mengenakan larangan masuk yang lebih meluas terhadap wakil institusi dan negara Eropah sebagai tindak balas kepada pakej ke-19 sekatan anti-Rusia oleh Kesatuan Eropah (EU), menurut Kementerian Luar Rusia pada Jumaat, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Rusia meluaskan larangan masuk terhadap wakil institusi dan negara Eropah sebagai tindak balas kepada pakej ke-19 sekatan anti-Rusia oleh Kesatuan Eropah.
  • Larangan melibatkan pegawai kerajaan, aktivis, ahli akademik dan ahli parlimen yang menyokong sekatan, bantuan ketenteraan kepada Ukraine, serta usaha menubuhkan tribunal antarabangsa terhadap kepimpinan Rusia.
  • Moscow menyasarkan individu yang terlibat dalam penyitaan aset Rusia dan retorik Russophobic, sebagai respons kepada sekatan baharu EU termasuk terhadap diplomat Rusia.


Sebagai tindak balas kepada kelulusan pakej ke-19 sekatan EU terhadap Rusia, Moscow telah meluaskan senarai larangan masuk melibatkan wakil institusi Eropah, negara anggota EU, serta beberapa negara Eropah lain yang menyokong dasar anti-Rusia EU, menurut kenyataan kementerian itu di laman rasminya.

Kenyataan itu menyebut langkah berkenaan meliputi pegawai agensi penguatkuasaan undang-undang, organisasi kerajaan dan komersial, serta warganegara negara anggota EU dan negara Barat lain yang terlibat dalam pemberian bantuan ketenteraan kepada Ukraine, membekalkan barangan dwiguna, menjejaskan integriti wilayah Rusia serta mengatur sekatan terhadap kapal dan kargo Rusia.

Larangan masuk itu juga disasarkan kepada wakil institusi Eropah, badan kerajaan negara EU dan negara Eropah lain yang terlibat dalam usaha menubuhkan "tribunal" antarabangsa terhadap kepimpinan Rusia, menyokong penyitaan aset milik kerajaan Rusia atau penggunaan hasil daripadanya untuk membantu Ukraine, serta bertanggungjawab merangka dan melaksanakan sekatan terhadap negara itu.

Kementerian turut menyatakan bahawa sekatan berkenaan melibatkan aktivis sivil dan wakil komuniti akademik yang dikenali dengan "Russophobic rhetoric," selain ahli parlimen negara anggota EU dan Parlimen Eropah yang mengundi menyokong resolusi serta rang undang-undang anti-Rusia.

Awal bulan ini, Wakil EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas mengumumkan bahawa blok itu meluluskan pakej ke-19 sekatan terhadap Rusia, termasuk sekatan baharu terhadap pergerakan diplomat Rusia di dalam EU.

-- BERNAMA


#Rusia #larangan masuk #wakil institusi dan negara Eropah #sekatan anti-Rusia #Kesatuan Eropah