Moscow lanjutkan tempoh penahanan pemberita WSJ Gershkovich selama 3 bulan

Bernama
Ogos 24, 2023 10:31 MYT
Pada 29 Mac, Gershkovich telah diberkas di bandar Yekaterinburg Rusia kerana disyaki cuba mengumpul maklumat pertahanan sulit untuk Amerika Syarikat. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Mahkamah daerah Lefortovo Moscow memutuskan untuk melanjutkan tahanan pra-perbicaraan selama tiga bulan lagi terhadap seorang wartawan Wall Street Journal Evan Gershkovich yang berpangkalan di Moscow atas tuduhan pengintipan, lapor Sputnik.
"Dengan keputusan mahkamah daerah Lefortovsky Moscow bertarikh 24 Ogos berhubung Evan Gershkovich ... tempoh tahanan dilanjutkan selama tiga bulan - sehingga 30 November," menurut mahkamah.
Sebelum ini dilaporkan bahawa mahkamah akan mempertimbangkan untuk melanjutkan penahanan pra-perbicaraan terhadap warga Amerika Sysrikat itu.
Pada ketika itu, masih belum diketahui berapa lama penahanan tambahan yang diminta oleh penyiasat terhadap Gershkovich.
Pada 29 Mac, Gershkovich telah diberkas di bandar Yekaterinburg Rusia kerana disyaki cuba mengumpul maklumat pertahanan sulit untuk Amerika Syarikat.
Jika didapati bersalah, wartawan itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Evan Gershkovich #penahanan dilanjut #Rusia #wartawan ditahan #Wall Street Journal