[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Moscow lebih suka penyelesaian diplomatik untuk konflik Ukraine, sedia berunding

Bernama 15/07/2025 | 22:40 MYT
Ryabkov menyeru agar usaha politik dan diplomatik digiatkan, sambil mengulangi pendirian Presiden Vladimir Putin yang Rusia bersedia untuk berunding dan lebih mengutamakan penyelesaian secara diplomatik. - Gambar Reuters
MOSCOW: Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov berkata, Moscow melihat jalan diplomatik sebagai kaedah lebih disukai untuk menyelesaikan konflik Ukraine dan kekal terbuka kepada rundingan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Mengulas kenyataan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dalam satu temu bual bersama agensi berita Rusia TASS, Ryabkov menegaskan yang Rusia menolak sebarang bentuk kata dua.

"Sudah tentu, kami memberi perhatian terutamanya sebarang cubaan untuk mengemukakan tuntutan, terutamanya dalam bentuk kata dua, adalah tidak dapat diterima bagi kami," kata beliau.

Beliau menyeru agar usaha politik dan diplomatik digiatkan, sambil mengulangi pendirian Presiden Vladimir Putin yang Rusia bersedia untuk berunding dan lebih mengutamakan penyelesaian secara diplomatik.

Namun, Ryabkov memberi amaran yang tanpa kemajuan dalam rundingan, Moscow "akan terus melaksanakan objektifnya melalui operasi ketenteraan khas" sekiranya kesediaannya untuk berdiplomasi tidak mendapat maklum balas.

"Pendirian ini tidak akan berubah. Kami berharap Washington dan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) secara umumnya mengambil perkara ini dengan penuh serius," tegasnya.

Ryabkov menyifatkan kenyataan terbaharu Trump "secara umumnya sejajar dengan corak kenyataan yang kami lihat dari pihak Amerika sejak kebelakangan ini."

Pada Isnin, Trump mengumumkan penghantaran senjata AS ke Kyiv akan diteruskan, namun bersyarat kepada pembiayaan dari Eropah, dengan NATO menyelaras proses itu.

Trump turut mengancam akan mengenakan tarif import sebanyak 100 peratus ke atas Rusia dan rakan dagangnya sekiranya tiada penyelesaian konflik Ukraine dalam tempoh 50 hari.

-- BERNAMA






#konflik Rusia-Ukraine #penyelesaian diplomatik #rundingan #Vladimir Putin #Donald Trump