TEHRAN: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada Jun lalu bagi menghentikan konflik antara kedua-dua negara dijadualkan tamat hari ini ketika rundingan untuk mencapai perjanjian muktamad masih menemui jalan buntu.
MoU berkenaan, yang dimeterai pada 17 Jun, memulakan tempoh rundingan selama 60 hari untuk membincangkan isu utama termasuk program nuklear Iran, sekatan ekonomi AS dan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, usaha mencapai penyelesaian berkekalan terjejas akibat pertikaian berterusan mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, laluan strategik yang penting kepada perdagangan tenaga global.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa Washington dan Tehran bersetuju secara prinsip untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata yang terkandung dalam MoU tersebut, namun tempoh pelanjutan masih belum diputuskan.
Bagaimanapun, sumber kanan Iran menafikan wujud rundingan rasmi berhubung pelanjutan itu dan menegaskan Washington perlu terlebih dahulu memenuhi komitmen di bawah perjanjian sedia ada sebelum sebarang perbincangan baharu dapat diteruskan.
Ketika tarikh tamat perjanjian semakin hampir, mediator termasuk Pakistan dan Qatar dilaporkan terus berusaha menghidupkan semula dialog antara kedua-dua pihak bagi mengelakkan konflik daripada kembali memuncak.