DUNIA

MP pertahan larangan kehadiran penyokong Maccabi Tel Aviv ke perlawanan Aston Villa

Astro Awani 17/10/2025 | 09:06 MYT
Larangan dibuat susulan insiden rusuhan melibatkan penyokong kelab tersebut dan penunjuk perasaan pro-Palestin di Amsterdam tahun lalu. -Gambar fail/AP
LONDON: Ahli Parlimen Birmingham Perry Barr, Ayoub Khan, mempertahankan keputusan melarang penyokong kelab bola sepak Israel, Maccabi Tel Aviv, daripada menghadiri perlawanan menentang Aston Villa dalam saingan Liga Europa UEFA pada 6 November ini di Villa Park.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Birmingham Perry Barr, Ayoub Khan, mempertahankan larangan kehadiran penyokong Maccabi Tel Aviv ke perlawanan menentang Aston Villa atas faktor keselamatan awam.
  • Larangan dibuat susulan insiden rusuhan melibatkan penyokong kelab tersebut dan penunjuk perasaan pro-Palestin di Amsterdam tahun lalu.
  • Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, mengkritik keputusan itu dan menyeru agar hak penyokong dihormati tanpa mengabaikan keselamatan awam.


Keputusan itu dibuat Majlis Penasihat Keselamatan Bandaraya Birmingham bersama Polis West Midlands atas faktor keselamatan awam, susulan insiden rusuhan yang berlaku tahun lalu melibatkan penyokong Maccabi Tel Aviv dan penunjuk perasaan pro-Palestin semasa perlawanan menentang Ajax di Amsterdam, yang menyaksikan lebih 60 individu ditahan dan beberapa lagi cedera.

Ayoub Khan dalam satu temu bual berkata kelab tersebut tidak sepatutnya dibenarkan bertanding dalam kejohanan antarabangsa dan menegaskan bahawa larangan itu adalah langkah wajar bagi mengelakkan ketegangan politik serta risiko keselamatan di kawasan setempat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, menyelar tindakan tersebut sebagai keputusan yang salah dan menyeru agar pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan semula larangan itu.

Beliau menegaskan bahawa Britain tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk antisemitisme dan menekankan kepentingan membezakan antara keselamatan awam dan hak penyokong untuk hadir menyokong pasukan mereka.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan dan polis masih berpegang kepada keputusan asal, walaupun menerima tekanan politik dan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin tertinggi negara.

Perlawanan antara Aston Villa dan Maccabi Tel Aviv dijangka berlangsung tanpa kehadiran penyokong pelawat, menjadikannya antara perlawanan Liga Europa yang paling dipantau dari segi keselamatan dan implikasi geopolitik.







#Ahli Parlimen Birmingham Perry Barr #Ayoub Khan #Maccabi Tel Aviv #Aston Villa #Keir Starmer