Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Mualem seru veteran GAM sabar tunggu peruntukan Dana Abadi

Astro Awani 21/11/2025 | 02:30 MYT
Mualem (kanan) bersalam dengan veteran GAM semasa perhimpunan koordinasi penghubung Badan Reintegrasi Aceh (BRA) di Banda Aceh, Indonesia pada Rabu. - Gambar Instagram Muzakir Manaf.
BANDA ACEH: Gabenor Aceh, Muzakir Manaf atau Mualem, menggesa veteran Gerakan Aceh Merdeka (GAM) agar bersabar menunggu proses peruntukan Dana Abadi daripada kerajaan Pusat.

Mualem, yang juga bekas Panglima Tertinggi GAM mengesahkan, beliau telah berbincang secara langsung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengenai dana tersebut.

“Beberapa hari lalu, saya telah bertemu secara langsung dengan Presiden Prabowo untuk menyuarakan perkara ini dan memohon Dana Abadi.

“Saya berharap bekas ahli GAM dapat bersabar dan menunggu proses sehingga dana tersebut disalurkan secara rasmi,” katanya semasa perhimpunan koordinasi penghubung Badan Reintegrasi Aceh (BRA), di sini, pada Rabu.

Difahamkan pertemuan antara Mualem dan Presiden berlangsung di Pusat Latihan Bina Diri Garuda Yaksa, Bogor, pada 8 November lalu.

Dalam masa sama, beliau juga berharap golongan veteran, sama ada yang masih hidup atau yang telah terkorban semasa konflik, dapat menikmati kesejahteraan pasca perdamaian.

Media tempatan melaporkan Presiden Prabowo bersetuju menyalurkan dana abadi sebanyak Rp 2 trilion (sekitar RM495 juta) pada 2026, yang akan disimpan di bank dengan hasil deposit digunakan untuk kebajikan veteran GAM.

Pada masa sama, Mualem turut menyeru agar semua veteran sentiasa bersatu dan menjaga keharmonian, demi mengekalkan perdamaian Aceh selama lebih dua dekad.

“Mari sama-sama kita fikir bagaimana untuk meneruskan (visi) perjuangan dan merawat damai di Aceh. Saya meminta agar kita tidak berpecah belah,” katanya lagi.

Untuk rekod, GAM dan Republik Indonesia mencapai perdamaian melalui Rundingan Helsinki di Finland pada 15 Ogos 2005.



#Aceh #Prabowo Subianto #GAM #Mualem