DUNIA

Mulai 2026, Singapura larang pelajar sekolah menengah guna telefon pintar waktu rehat, kokurikulum

Agensi 30/11/2025 | 23:30 MYT
Bermula Januari 2026, pelajar sekolah menengah di Singapura tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar atau jam tangan pintar sepanjang waktu persekolahan termasuk ketika waktu rehat dan aktiviti kokurikulum. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Bermula Januari 2026, pelajar sekolah menengah di Singapura tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar atau jam tangan pintar sepanjang waktu persekolahan termasuk ketika waktu rehat dan aktiviti kokurikulum.

Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, langkah ini bertujuan memupuk tabiat penggunaan skrin yang lebih sihat dalam kalangan pelajar.

Ketika ini, garis panduan sedia ada hanya melarang penggunaan peranti tersebut semasa waktu pembelajaran.

Namun, mulai 2026, larangan itu akan diperluaskan meliputi waktu bukan pembelajaran seperti rehat, aktiviti kokurikulum serta kelas tambahan dan pemulihan.

Peranti pelajar akan disimpan di kawasan khas atau di dalam beg sepanjang waktu persekolahan.

“Jika perlu, pentadbiran sekolah boleh membenarkan penggunaan telefon pintar atas pengecualian tertentu,” kata MOE.

Garis panduan sama telah dilaksanakan di sekolah rendah sejak pelancaran strategi kesihatan nasional Grow Well SG.

Beberapa sekolah menengah yang mengamalkan peraturan lebih ketat sebelum ini dilaporkan mencatat kesan positif seperti peningkatan fokus, interaksi fizikal dan kesejahteraan pelajar.

MOE turut memaklumkan, waktu ‘sleep mode’ aplikasi pengurusan peranti akan diawalkan kepada 10.30 malam berbanding 11 malam bagi menggalakkan pelajar tidur lebih awal.

Ibu bapa digesa menyesuaikan tetapan peranti anak agar selari dengan perubahan ini.

Bagi pelajar prauniversiti, MOE menjelaskan, mereka dijangka mempunyai disiplin mencukupi untuk mengurus penggunaan peranti, namun larangan semasa waktu pembelajaran tetap dikekalkan kecuali dengan kebenaran guru.

Maklumat lanjut mengenai garis panduan baharu ini akan disampaikan melalui taklimat awal tahun, buku panduan pelajar, laman web sekolah dan sesi bersama ibu bapa. - CNA







#Singapura #telefon pintar #pelajar sekolah menengah #Kementerian Pendidikan Singapura