Mungkin 'Yahudi' yang terlibat, bukan Rusia - Putin nafi ganggu pilihan raya AS

Agensi
Mac 11, 2018 06:55 MYT
Agensi perisikan Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa Putin secara peribadi telah mengarahkan usaha untuk mencampuri urusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat. - Foto AP
Presiden Rusia, Vladmir Putin berkata warga Ukrain, bangsa Tatar atau orang 'Yahudi' yang berkemungkinan campur tangan dalam keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016, dan bukannya Rusia seperti dakwaan beberapa pihak.
"Kenapa anda mengambil keputusan ia angkara pihak berkuasa Rusia? Termasuk saya sendiri telah memberikan kebenaran untuk melakukannya?" jawab Putin dalam wawancara bersama stesen televisyen Amerika Syarikat, NBC.
Hujung tahun lalu, agensi perisikan AS mengeluarkan laporan bahawa Putin secara peribadi telah mengarahkan usaha untuk mencampuri urusan pilihan raya presiden negara itu bagi menghalang calon Demokrat, Hillary Clinton dari menang dan seterusnya membantu calon Republikan Donald Trump daripada muncul pemenang.
BACA: 13 individu didakwa manipulasi pilihan raya AS itu bukan orang saya - Putin
Bulan lalu, anggota majlis khas, Robert Mueller yang menyiasat dakwaan itu menamakan 13 warganegara Rusia dan tiga syarikat Rusia telah membantu Trump untuk menang selain mengganggu proses pilihan raya.
"Jadi kenapa sekiranya mereka warga Rusia? Terdapat 146 juta rakyat Rusia. Jadi kenapa? Saya tidak peduli, mereka ini tidak mewakili kepentingan negara Rusia."
"Atau mungkin, mereka bukan sebenarnya warganegara Rusia, tetapi dari Ukrain, Tatar (bangsa) atau Yahudi dengan kewarganegaraan Rusia, yang sepatutnya turut diperiksa.
Mungkin mereka ada dua kewarganegaraan atau kad kewarganegaraan, atau mungkin juga Amerika Syarikat sendiri yang mengupah mereka?
"Macam mana anda boleh sahkannya? Saya sendiri tidak tahu," kata Putin lagi.
#Amerika Syarikat #AS #calon #Donald Trump #Hillary Clinton #NBC #pilihan raya #presiden #Rusia #Vladmir Putin #Yahudi