INTERNATIONAL
Musk akan kekal hingga misi DOGE selesai - White House

Trump telah menyatakan bahawa Musk akan meninggalkan perkhidmatan awam sebagai kakitangan kerajaan khas apabila tugasnya di DOGE selesai. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: White House menafikan laporan bahawa jutawan teknologi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla serta SpaceX, Elon Musk, akan meninggalkan peranannya sebagai kakitangan kerajaan khas sebelum tempoh mandatnya tamat pada akhir Mei.
Menurut jurucakap White House, Karoline Leavitt, Presiden Donald Trump telah menyatakan bahawa Musk akan meninggalkan perkhidmatan awam sebagai kakitangan kerajaan khas apabila tugasnya di Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) selesai.
Leavitt berkata demikian sebagai respons kepada laporan media seperti Politico dan ABC yang mendakwa Trump telah memaklumkan kepada anggota kabinet mengenai kemungkinan Musk akan kembali ke sektor swasta.
Trump sebelum ini menugaskan Musk untuk mengetuai usaha melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan merombak birokrasi persekutuan.Musk dilaporkan yakin dapat mencapai sasaran pemotongan perbelanjaan sebanyak AS$1 trilion dalam tempoh 130 hari mandatnya.
Namun, DOGE dilaporkan hanya berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak AS$140 bilion setakat 2 April.
Ini menerusi pengurangan pekerja, penjualan aset dan pembatalan kontrak dan ia jauh daripada sasaran asal.
Tambahan pula, laman web rasmi DOGE sering menghadapi kesilapan dalam pengiraan dan pembetulan data.
Kontroversi turut timbul apabila hampir 200,000 pekerja kerajaan telah dipecat, diberhentikan atau menerima skim pemberhentian sukarela.
Tindakan itu mencetuskan bantahan rakyat di seluruh Amerika Syarikat, dengan beberapa cawangan Tesla turut menjadi sasaran vandalisme.
Protes besar-besaran terhadap dasar DOGE dan agenda Trump dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Mandat DOGE secara keseluruhannya akan berakhir pada 4 Julai 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami