DUNIA

Musk dakwa bantahan terhadap deepfake Grok hanya alasan untuk penapisan

Bernama 10/01/2026 | 22:45 MYT
Merujuk kepada dakwaan bahawa program AI lain turut menghasilkan imej wanita berpakaian bikini yang tidak bersifat seksual, Musk berkata: "Mereka mahukan sebarang alasan untuk penapisan."
LONDON: Elon Musk mendakwa pengkritik X "mencari sebarang alasan untuk melakukan penapisan" ketika laman sesawang miliknya itu berdepan ancaman sekatan susulan isu pornografi "deepfake" dan imej penderaan kanak-kanak, lapor PA Media/dpa.

Bilionair itu kelihatan tetap dengan pendiriannya pada Jumaat malam meskipun terdapat bantahan berhubung laporan bahawa chatbot kecerdasan buatan (AI) milik X, Grok, menghasilkan imej seksual individu termasuk kanak-kanak atas permintaan pengguna.

Merujuk kepada dakwaan bahawa program AI lain turut menghasilkan imej wanita berpakaian bikini yang tidak bersifat seksual, beliau menerusi hantaran di X berkata: "Mereka mahukan sebarang alasan untuk penapisan."

Kritikan terhadap X tertumpu kepada keupayaan Grok menghasilkan imej penderaan kanak-kanak serta manipulasi gambar wanita dan kanak-kanak perempuan sebenar untuk menanggalkan pakaian mereka secara digital.

Setiausaha Teknologi Liz Kendall berkata beliau akan menyokong badan kawal selia Ofcom sekiranya ia memutuskan untuk menyekat X jika gagal mematuhi undang-undang United Kingdom (UK). Beliau menegaskan: "Manipulasi seksual imej wanita dan kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat keji dan amat dibenci."

Ofcom memaklumkan pihaknya sedang menjalankan "penilaian dipercepatkan" selepas berhubung secara rasmi dengan X pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, Musk bertindak balas dengan berkongsi hantaran daripada penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) Anna Paulina Luna yang mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas Perdana Menteri Britain Keir Starmer dan United Kingdom sekiranya X disekat di negara itu.

-- BERNAMA


#Elon Musk #pornografi #deepfake #Grok