DUNIA

Musk tarik balik kritikan terhadap Trump

Astro Awani 12/06/2025 | 02:20 MYT
White House kini terbuka kepada kemungkinan hubungan mereka diperbaiki sepenuhnya dalam masa terdekat. - Foto fail
WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, dilaporkan menarik balik kenyataan kerasnya terhadap Presiden Donald Trump selepas menerima panggilan daripada Naib Presiden JD Vance dan Ketua Staf White House, Susie Wiles.

Perbualan itu dipercayai menjadi titik tolak kepada usaha meredakan ketegangan antara dua tokoh berpengaruh itu.

Musk sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyokong gesaan agar Trump dipecat, mengkritik rang undang-undang utama pentadbiran sebagai “menjijikkan”, dan mendakwa Trump terlibat dalam fail Epstein — satu tuduhan yang menggemparkan media sosial.

Beliau juga mengancam untuk menubuhkan parti politik baharu sebagai tindak balas terhadap dasar-dasar pentadbiran semasa.

Namun, selepas perbualan dengan Vance dan Wiles, Musk memadam beberapa hantaran paling kontroversi di platform X dan menyatakan kekesalannya.

“Saya menyesal dengan beberapa hantaran saya tentang Presiden @realDonaldTrump minggu lalu. Ia keterlaluan,” tulisnya dalam satu hantaran baharu.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memulihkan hubungan yang penting kepada empayar perniagaannya, termasuk kontrak kerajaan bernilai berbilion dolar yang melibatkan SpaceX dan Starlink.

Ketegangan yang berlarutan berpotensi menjejaskan kepentingan perniagaan Musk di peringkat persekutuan.

Sumber dalaman menyatakan bahawa Trump sendiri telah melunak dalam pendiriannya terhadap Musk, dan White House kini terbuka kepada kemungkinan hubungan mereka diperbaiki sepenuhnya dalam masa terdekat.








#Elon Musk #Donald Trump #White House #SpaceX