DUNIA

Musk tuntut sehingga US$109.4 bilion daripada OpenAI atas "keuntungan salah"

Bernama 17/01/2026 | 15:00 MYT
Musk mendakwa beliau telah dinafikan nilai pelaburannya secara tidak sah, namun OpenAI menolak dakwaan itu. - Gambar fail/REUTERS
SAN JOSE (California): Bilionair teknologi Elon Musk menuntut sehingga US$109.4 bilion daripada pembangun ChatGPT, OpenAI di mahkamah, dengan mendakwa beliau berhak mendapat pembayaran "keuntungan salah" kepadanya susulan sokongan awalnya terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI) itu sebagai pengasas bersama, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Elon Musk menuntut sehingga US$109.4 bilion daripada OpenAI dalam mahkamah atas alasan beliau berhak mendapat "keuntungan salah" susulan sokongan awal beliau terhadap syarikat kecerdasan buatan itu.
  • Musk mendakwa nilai pelaburannya telah dinafikan secara tidak sah oleh OpenAI, tetapi syarikat tersebut menolak dakwaan tersebut.
  • OpenAI pula menyifatkan tuntutan Musk sebagai "salah nyata secara kasar" dan mendakwa tindakan tersebut adalah percubaan keempat beliau untuk menghidupkan semula tuntutan yang sama.


Dalam dokumen yang difailkan di sebuah mahkamah California pada Jumaat, peguam Musk memetik penilaian pakar dalam pertikaian undang-undang yang telah berlarutan sejak 2024 itu.

Musk mendakwa beliau telah dinafikan nilai pelaburannya secara tidak sah, namun OpenAI menolak dakwaan itu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam talian pada Jumaat, OpenAI membalas dengan menuduh Musk "salah nyata secara kasar" terhadap rekod bertulis sedia ada.

Menurut pakar yang dirujuk oleh pasukan undang-undang Musk, bilionair kelahiran Afrika Selatan itu menyumbang US$38 juta kepada pembiayaan awal OpenAI, selain menyediakan rangkaian industri utama serta kepakaran teknikal.

Berdasarkan sumbangan itu, pakar berkenaan menyatakan bahawa Musk berhak mendapat bahagian daripada nilai semasa OpenAI, yang dianggarkan antara US$65.5 bilion hingga US$109.43 bilion.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan Musk menuntut antara US$13.3 bilion hingga US$25.06 bilion daripada rakan kongsi dan pelabur terbesar OpenAI, Microsoft.

Dalam samannya, Musk mendakwa OpenAI yang diasaskannya bersama pada 2015, telah mengabaikan misi asalnya sebagai organisasi bukan untung yang berdedikasi untuk memastikan penyelidikan AI memberi manfaat kepada kemanusiaan.

Beliau berhujah bahawa syarikat itu kini sebahagian besarnya hanya berkhidmat untuk kepentingan Microsoft.

OpenAI sebaliknya menyatakan bahawa pemfailan terbaharu Musk merupakan percubaan keempatnya untuk menghidupkan semula tuntutan yang sama.

Syarikat itu mendakwa tindakan itu adalah sebahagian daripada corak gangguan yang bertujuan melambatkan kerja OpenAI, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat AI miliknya sendiri, xAI, yang diasaskan pada 2023 dan mempunyai chatbot Grok yang bersaing dengan ChatGPT.

-- BERNAMA

#Elon Musk #OpenAI #keuntungan salah #ChatGPT