DUNIA

Muzium Perancis sekali lagi dirompak, 2,000 syiling emas dan perak lesap

Astro Awani 23/10/2025 | 22:30 MYT
Kejadian berlaku di Maison des Lumières, sebuah muzium yang didedikasikan kepada ahli falsafah terkenal Perancis, Denis Diderot. - Foto X/@FranceNews24
PARIS: Sebanyak 2,000 keping syiling emas dan perak bernilai kira-kira €90,000 (RM441,000) telah dicuri dalam satu rompakan di sebuah muzium di Landres, timur laut Perancis, hanya beberapa jam selepas insiden pencurian berani melibatkan permata mahkota Perancis di Muzium Louvre.


Ringkasan AI
  • Syiling emas dan perak bernilai 90,000 euro lesap dalam rompakan terancang di Maison des Lumires, hanya beberapa jam selepas insiden di Muzium Louvre.
  • Kes ini menyusul selepas kecurian emas dari Muzium Sejarah Semula Jadi Paris dan porselin bernilai jutaan euro dari Limoges, dengan beberapa barang masih belum ditemui.
  • Pakar seni dan pegawai Perancis mengkritik kelemahan sistem keselamatan, termasuk CCTV dan penggera, yang menjadikan muzium sasaran mudah bagi penjenayah.


Kejadian berlaku di Maison des Lumières, sebuah muzium yang didedikasikan kepada ahli falsafah terkenal Perancis, Denis Diderot.

Rompakan itu hanya disedari pada pagi Selasa apabila kakitangan muzium mendapati sebuah bekas pameran telah dipecahkan dan segera menghubungi pihak berkuasa.

Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, syiling yang dicuri dipilih dengan “kepakaran tinggi”, menunjukkan rompakan itu dirancang secara teliti.

Syiling berkenaan berasal dari tahun 1790 hingga 1840 dan merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi bandar tersebut, yang ditemui pada tahun 2011 semasa kerja pengubahsuaian bangunan muzium.

Insiden ini menambah kepada siri rompakan yang menyasarkan institusi budaya di Perancis.

Bulan lalu, Muzium Sejarah Semula Jadi Paris turut dirompak, dengan penjenayah melarikan enam ketul emas bernilai sekitar €1.5 juta (RM7.35 juta).

Seorang warga China ditahan di Barcelona ketika cuba melupuskan emas yang telah dilebur dan kini sedang ditahan reman
.
Pada September, dua pinggan porselin China dan sebuah pasu bernilai €6.55 juta (RM32.10 juta) turut dicuri dari Muzium Porselin Kebangsaan di Limoges.

Barang-barang tersebut masih belum ditemui dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Rompakan paling mengejutkan berlaku di Muzium Louvre apabila sekumpulan penjenayah menyamar sebagai pekerja dan menggunakan alat kuasa serta tangga mekanikal untuk menceroboh Galeri Apollo di tingkat satu.

Mereka melarikan barang kemas bersejarah bernilai €88 juta (RM431.21 juta) termasuk rantai berlian dan zamrud milik Maharani Eugenie serta tiara milik Ratu Marie-Amelie.

Pakar seni Arthur Brand memberi amaran bahawa muzium di seluruh Eropah mungkin berdepan gelombang rompakan tiruan susulan kejadian di Louvre.

Beliau menyatakan bahawa muzium dengan kawalan keselamatan lemah dan pengawal tidak bersenjata menjadi sasaran mudah berbanding kedai barang kemas yang lebih ketat kawalannya.

Pengarah Louvre, Laurence des Cars, mengakui kelemahan sistem CCTV di sekitar muzium dan menyifatkan insiden itu sebagai kegagalan melindungi khazanah negara.

Laporan awal mendapati satu daripada tiga bilik di Louvre tidak dilengkapi kamera dan sistem penggera tidak berfungsi semasa kejadian.

Menteri Kehakiman Perancis, Gérald Darmanin, turut menyelar kegagalan protokol keselamatan dan menyifatkan insiden itu sebagai tamparan buruk kepada imej negara.






#muzium #rompakan #syiling #Maison des Lumieres