DUNIA
Myanmar berusaha ganti tanaman candu dengan tanaman tunai
Ketidakstabilan politik akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan militia bersenjata, serta tekanan ekonomi yang semakin meningkat, mendorong petani di kawasan pergunungan terpencil untuk menanam pokok candu. - Gambar/ UNODC
PHNOM PENH: Konflik bersenjata yang berterusan menjejaskan usaha Myanmar untuk membanteras penanaman candu dan pengedaran dadah, sekali gus mengancam keselamatan negara.
Ringkasan AI
- Konflik bersenjata dan ketidakstabilan politik di Myanmar mendorong petani di kawasan terpencil menanam candu, sekali gus menyukarkan usaha membanteras pengeluaran dan penyeludupan dadah.
- Pihak berkuasa Myanmar memusnahkan hampir 1,900 hektar ladang candu dan dadah bernilai RM1.3 bilion sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2025, namun jaringan pengedaran rentas sempadan terus menjadi cabaran utama.
- Kajian UNODC menunjukkan penanaman candu kekal menarik bagi petani kerana pendapatan tinggi, manakala kerajaan Myanmar cuba memperkenalkan alternatif seperti kopi dan teh untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman candu.
Ketidakstabilan politik akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan militia bersenjata, serta tekanan ekonomi yang semakin meningkat, mendorong petani di kawasan pergunungan terpencil untuk menanam pokok candu.
"Penanaman candu dan pengeluaran heroin merupakan isu besar di Myanmar suatu ketika dahulu. Kini, negara ini berdepan cabaran pengeluaran, penyeludupan dan perdagangan dadah sintetik seperti yang dialami banyak negara lain di seluruh dunia.
"Sebaliknya, kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik menyaksikan peningkatan semula jumlah kawasan yang ditanam dengan pokok candu," kata Menteri Dalam Negeri Leftenan Jeneral Tun Tun Naung seperti dilaporkan media rasmi, The Global New Light of Myanmar.
Myanmar kini berusaha memperkenalkan tanaman alternatif seperti kopi dan teh, selain projek penternakan, bagi menggantikan penanaman candu dalam kalangan petani.
Sepanjang musim penanaman 2024-25, pasukan keselamatan telah memusnahkan hampir 1,900 hektar (4,734.5 ekar) ladang candu.
Sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2025 pada Khamis, pihak berkuasa Myanmar memusnahkan 66 jenis dadah dan bahan kimia prekursor, termasuk heroin, candu, methamphetamine, ganja dan ketamin, bernilai RM1.3 bilion (US$297 juta) di Yangon, Mandalay, Taunggyi dan Sagaing, menurut laporan media rasmi.
Dalam artikel panjang yang disiarkan media rasmi sempena kempen antidadah global itu, Tun Tun Naung mendedahkan besarnya cabaran yang dihadapi kerajaan dalam membanteras gejala sosial tersebut.
Jaringan kompleks pengeluaran dan pengedaran dadah, disokong rangkaian rentas sempadan, menyukarkan usaha membendung aliran dadah haram.
"Walaupun bahan kimia prekursor dan kelengkapan berkaitan pengeluaran dadah tidak dapat dihasilkan dalam negara, bahan-bahan ini boleh dibawa masuk secara mudah dan haram melalui kawasan sempadan.
"Sebahagian besar dadah yang dihasilkan diseludup ke negara serantau dan negara yang mempunyai permintaan tinggi melalui sempadan, menjadikan usaha pencegahan dan pembanterasan dadah sangat mencabar," kata Tun Tun Naung.
Pada hari sama, satu rencana advertorial dalam media rasmi menekankan keseriusan penularan dadah serta kesannya terhadap masyarakat Myanmar.
"Myanmar berdepan cabaran besar berkaitan penanaman candu, pengeluaran dadah sintetik dan penyalahgunaan dadah yang berleluasa. Namun pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang sedang giat menjalankan usaha pembanterasan melalui kerjasama bersepadu," menurut editorial itu.
Kajian 2023 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenai candu di Myanmar menunjukkan seriusnya masalah ekonomi candu yang didorong konflik dan kemiskinan luar bandar.
Menurut UNODC, pada 2022, seorang petani secara purata boleh memperoleh RM1,184 (US$280) bagi setiap kilogram candu meskipun bekalan melimpah.
"Daya tarikan candu sebagai tanaman dan komoditi serta permintaan yang meningkat - memandangkan perdagangan candu dan heroin di Segitiga Emas kelihatan kembali bersambung dengan pasaran global. Petani memperoleh lebih dua kali ganda pendapatan berbanding tahun sebelumnya (2022)," menurut laporan agensi itu.
-- BERNAMA