[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
DUNIA

Myanmar gesa pemberontak serah diri, tawar pengampunan, ganjaran wang tunai - Laporan

Bernama 18/07/2025 | 14:01 MYT
Konflik awam di Myanmar tercetus selepas tentera merampas kuasa dalam pada 2021, sekali gus menamatkan tempoh sedekad pemerintahan awam. - AP
BANGKOK: Pihak berkuasa Myanmar menggesa kumpulan pemberontak, termasuk Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) iaitu sayap bersenjata bekas Kerajaan Myanmar, agar meletak senjata dan kembali ke kehidupan aman, lapor akhbar milik kerajaan Global New Light of Myanmar pada Jumaat, menurut Sputnik/RIA Novosti.

"Majlis Pentadbiran Negara menyeru individu yang terlibat dengan pelbagai kumpulan bersenjata, termasuk PDF, untuk kembali ke pangkuan undang-undang. Mereka yang berbuat demikian akan menerima bantuan dan sokongan yang sewajarnya. Malah, individu yang kembali bersama senjata dan peluru akan ditawarkan ganjaran wang tunai," menurut kenyataan kerajaan.

Pihak berkuasa mendakwa tindakan ganas oleh pemberontak serta perebutan kuasa antara komander kumpulan itu telah menyebabkan ramai pejuang hilang kepercayaan.

Kerajaan turut menyeru individu yang kecewa dengan perjuangan bersenjata atau yang dipaksa oleh komander untuk melakukan "tindakan keganasan" terhadap orang awam agar menghubungi pejabat pentadbiran, pejabat tentera atau balai polis terdekat untuk mendapatkan bantuan. Mereka turut digesa membawa sebanyak mungkin senjata dan peluru bersama mereka.

Konflik awam di Myanmar tercetus selepas tentera merampas kuasa dalam satu kudeta pada 2021, sekali gus menamatkan tempoh sedekad pemerintahan awam. Selain pembangkang politik bersenjata, beberapa kumpulan bersenjata etnik turut menyertai penentangan itu.

-- BERNAMA

#Myanmar #pihak berkuasa #pemberontak #PDF #kumpulan bersenjata