DUNIA

Myanmar jalankan pilihan raya pertama selepas lima tahun di bawah pemerintahan tentera

Agensi 28/12/2025 | 00:15 MYT
Proses pengundian berlangsung di Yangon, Naypyitaw dan beberapa kawasan lain, dengan pusat mengundi ditempatkan di sekolah menengah, bangunan kerajaan serta rumah ibadat. - Gambar AP
YANGON: Rakyat Myanmar keluar mengundi hari ini bagi fasa pertama pilihan raya umum negara itu, yang diadakan buat kali pertama dalam tempoh lima tahun di bawah pengawasan kerajaan tentera ketika perang saudara terus bergolak di kebanyakan wilayah.

Pilihan raya ini dikritik hebat kerana didakwa sekadar memberi wajah legitimasi kepada pemerintahan tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan dipilih Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.

Parti Suu Kyi sebelum ini menang besar pada pilihan raya 2020, namun dihalang daripada membentuk kerajaan untuk penggal kedua.

Proses pengundian berlangsung di Yangon, Naypyitaw dan beberapa kawasan lain, dengan pusat mengundi ditempatkan di sekolah menengah, bangunan kerajaan serta rumah ibadat.

Pemerhati antarabangsa dan pengkritik menyifatkan keputusan pilihan raya ini tidak sah kerana parti utama dikecualikan, kebebasan bersuara disekat dan suasana penindasan berleluasa.

Mereka menjangka kemenangan bakal memihak kepada Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) yang disokong tentera, menjadikan peralihan kepada pemerintahan awam sekadar ilusi.

Bagaimanapun, penganjuran pilihan raya ini mungkin dijadikan alasan oleh negara jiran seperti China, India dan Thailand untuk terus menyokong Myanmar atas nama kestabilan.

Negara Barat pula mengekalkan sekatan terhadap junta tentera kerana tindakan anti-demokrasi dan perang berdarah terhadap pihak penentang.

Di Yangon, kawalan keselamatan diperketat sejak semalam dengan pengawal bersenjata ditempatkan di luar pusat mengundi dan trak tentera meronda jalan raya.

Mesin pengundi elektronik turut digunakan buat kali pertama di Myanmar.

Walaupun kumpulan penentang dan gerakan bersenjata berikrar mengganggu proses pengundian, tiada insiden besar dilaporkan setakat ini.

Bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang kini berusia 80 tahun, tidak bertanding kerana menjalani hukuman penjara 27 tahun atas tuduhan yang dianggap bermotif politik.

Parti beliau, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), dibubarkan pada 2023 selepas enggan mendaftar di bawah peraturan baharu tentera.

Beberapa parti lain juga enggan bertanding kerana menganggap syarat yang dikenakan tidak adil, manakala kumpulan pembangkang menyeru rakyat memboikot pengundian.

Menurut badan pemantau Asian Network for Free Elections, pilihan raya kali ini tidak menawarkan pilihan sebenar kerana 73 peratus pengundi pada 2020 menyokong parti yang kini sudah tiada.

Penentangan terhadap tentera sukar digerakkan kerana penindasan berterusan.

Data Persatuan Bantuan Tahanan Politik menunjukkan lebih 22,000 individu ditahan atas kesalahan politik, manakala lebih 7,600 orang awam terbunuh sejak rampasan kuasa 2021.

Perang saudara tercetus selepas tentera menggunakan kekerasan terhadap demonstrasi aman menentang rampasan kuasa.

Konflik itu menyebabkan lebih 3.6 juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut PBB.

Undang-undang baharu Perlindungan Pilihan Raya turut mengenakan hukuman berat dan sekatan, sekali gus menutup ruang kritikan terhadap proses pengundian.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menyatakan, Myanmar kini menyaksikan peningkatan keganasan dan intimidasi, sambil menegaskan tiada syarat yang membolehkan kebebasan bersuara atau berhimpun secara aman.

Dalam keadaan ini, kuasa dijangka kekal di tangan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang mengetuai rampasan kuasa 2021.

Pengundian dijalankan dalam tiga fasa, dengan pusingan pertama hari ini melibatkan 102 daripada 330 daerah.

Fasa kedua dijadual pada 11 Januari dan ketiga pada 25 Januari, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan hujung bulan depan.

Lebih 4,800 calon daripada 57 parti bertanding merebut kerusi di parlimen nasional dan wilayah, namun hanya enam parti bertanding di peringkat nasional dengan peluang membentuk pengaruh politik. - Agensi


#Myanmar #pilihan raya Myanmar #pemerintahan tentera #rampasan kuasa #Aung San Suu Kyi