YANGON: Pemerintah tentera Myanmar mengumumkan pengurangan hukuman penjara ke atas Aung San Suu Kyi serta membebaskan bekas presiden Win Myint sempena pengampunan Tahun Baharu tradisional negara itu.
Peguam kepada Suu Kyi memaklumkan hukuman penjara 27 tahun yang sedang dijalani tokoh politik berusia 80 tahun itu dikurangkan sebanyak satu perenam, menurut Reuters.
Advertisement
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Suu Kyi akan dibenarkan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah atau kekal ditahan di penjara.
Dalam perkembangan sama, media kerajaan melaporkan Win Myint, yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dibebaskan sebagai sebahagian daripada pengampunan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat susulan keputusan presiden baharu Myanmar yang juga bekas ketua junta tentera, Min Aung Hlaing, yang meluluskan pengampunan kepada lebih 4,300 banduan di seluruh negara.
Suu Kyi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara atas pelbagai pertuduhan termasuk hasutan, rasuah dan pelanggaran undang-undang rahsia rasmi, yang disifatkan oleh sekutunya sebagai bermotifkan politik bagi menyingkirkannya daripada arena politik.
Langkah pengampunan berkenaan merupakan antara tindakan rasmi awal Min Aung Hlaing selepas beliau mengangkat sumpah sebagai presiden awal bulan ini, susulan pengundian parlimen yang dikritik masyarakat antarabangsa.