DUNIA

Myanmar laksana fasa terakhir pilihan raya di sebalik tindakan ASEAN tidak iktiraf proses itu

Bernama 25/01/2026 | 06:45 MYT
Disebabkan ketidakstabilan politik dalaman, pilihan raya itu dijalankan dalam beberapa fasa. - Foto AP
PHNOM PENH: Proses pengundian pilihan raya umum Myanmar memasuki fasa ketiga dan terakhir pada pagi Ahad, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keputusan penuh diumumkan akhir bulan ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya U Than Soe semalam memberi taklimat kepada pemerhati antarabangsa di Myanmar yang memantau pusingan akhir pengundian itu, yang diadakan buat pertama kali dalam tempoh lima tahun sejak tentera mengambil alih kuasa pada Februari 2021.

"Parti-parti politik dan calon Hluttaw (ahli Parlimen) telah menjalankan kempen mereka mengikut undang-undang dan peraturan, membolehkan pilihan raya diadakan secara aman tanpa konflik atau pertikaian besar," kata Than Soe kepada pemerhati asing, menurut media kerajaan The Global New Light of Myanmar hari ini.

Disebabkan ketidakstabilan politik dalaman, pilihan raya itu dijalankan dalam beberapa fasa. Fasa pertama pengundian berlangsung pada 28 Disember tahun lalu diikuti Fasa kedua pada 11 Jan lepas.

Menurut media kerajaan, seramai 4,863 calon daripada 57 parti politik bertanding dalam pilihan raya berkenaan bagi merebut kerusi Pyithu Hluttaw (Dewan Rakyat), Amyotha Hluttaw (Dewan Negara), serta Dewan Undangan Negeri dan Wilayah.

Lebih 24 juta pengundi berdaftar layak mengundi di 692 kawasan pilihan raya di seluruh negara.

Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) yang pro-tentera, kini mendahului pengundian dan dijangka membentuk kerajaan, menurut laporan media.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang kini mengetuai kerajaan, disebut-sebut bakal dipilih sebagai presiden negara itu yang seterusnya.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak memperakui pilihan raya di negara itu kerana prosesnya tidak inklusif dan tidak membabitkan penyertaan penuh semua pihak.

"Malaysia juga tidak menghantar wakil ataupun pemerhati ke pilihan raya tersebut kerana kita telah katakan bahawa pilihan raya mesti disertai secara sepenuhnya bukan pilihan raya yang berpilih-pilih," katanya pada Selasa lepas.

-- BERNAMA






#pilihan raya Myanmar #fasa terakhir #pembentukan kerajaan baharu #ASEAN #Mohamad Hasan