[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Myanmar musnahkan gading, tanduk dan tulang hidupan liar bernilai lebih RM5 juta

Agensi 04/10/2018 | 10:15 MYT
Antara gading gajah yang dimusnahkan dalam operasi di ibu negara Myanmar. - Reuters
Pihak berkuasa Myanmar pada Khamis memusnahkan longgokan gading gajah, sisik tenggiling dan banyak lagi bahagian tubuh haiwan yang dirampas, sebagai sebahagian daripada usaha membanteras penyeludupan hidupan liar.
Reuters melaporkan, semua barangan tersebut ditaksir bernilai AS$1.3 juta (RM5.4 juta) di pasaran gelap.
Bertempat di pekarangan sebuah bangunan kerajaan di Naypyitaw, pihak berkuasa bertindak membakar sejumlah 277 gading gajah, 1,544 tanduk rusa, 180 ketul tulang harimau dan banyak lagi barangan haram yang kesemuanya mencapai jumlah berat 1.4 tan.
“Memelihara dan melindungi sumber semula jadi di negara ini sangat penting, termasuk tanah, air, hutan, gunung dan hidupan liar. Semuanya demi generasi masa depan,” ujar Menteri Sumber Alam dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Ohn Win.
Semua barangan rampasan itu dimusnahkan secara pembakaran, sebagai isyarat negara itu serius membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.
Myanmar terletak dalam zon Segi Tiga Emas bersama Thailand dan Laos, yang merupakan pusat kepada aktiviti perdagangan haram hidupan liar.
Aktiviti terlarang dengan rangkaian global itu, kebanyakannya diseludup ke China.
Sebuah laporan daripada kumpulan konservasi Save The Elephants minggu ini menyatakan, pengharaman perdagangan gading gajah oleh China tidak mampu menghentikan aktiviti tersebut di Mong La, iaitu bandar sempadan Myanmar-China.
Sejak tiga tahun lalu, aktiviti penjualan gading dilihat meningkat sehingga 60 peratus.
#China #gading gajah #harimau #hidupan liar #Myanmar #pemburu #penyeludupan #tanduk rusa