DUNIA

Myanmar pelawa pelabur asing bantu bangunkan semua negara selepas dilanda gempa bumi

Bernama 31/05/2025 | 08:19 MYT
Min Aung Hlaing mengharapkan sokongan rakan serantau dan antarabangsa, dan turut mempelawa mereka untuk melabur dalam visi baharu Myanmar. - Reuters
PHNOM PENH: Myanmar menjemput pelabur asing untuk menyertai usaha pembinaan semula negara itu, dua bulan selepas gempa bumi dahsyat memusnahkan infrastruktur utama dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda negara Asia Tenggara itu pada 28 Mac lepas telah merosakkan jalan raya, jambatan, sekolah, biara, kawasan pertanian dan kilang.

Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengumumkan pelan strategik untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada mangsa terjejas serta memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk.

"Pembinaan semula bukan sekadar membaiki bangunan rosak dan berusaha untuk memulihkan ekonomi, tetapi juga membina negara yang lebih selamat dan terjamin pada masa depan.

"Kami mengharapkan sokongan rakan serantau dan antarabangsa, dan kami turut mempelawa mereka untuk melabur dalam visi baharu Myanmar," kata Min Aung Hlaing, menurut laporan media rasmi The Global New Light of Myanmar.

Beliau berkata demikian pada Forum "Membina Semula Myanmar: Pemulihan Ekonomi Pasca-Gempa Bumi" di Nay Pyi Taw pada Jumaat.

Seramai 3,700 orang dilaporkan terkorban manakala 5,104 yang lain cedera akibat bencana itu.

"Gempa bumi dahsyat ini memberi kesan langsung kepada kira-kira 600,000 orang, dengan ribuan lagi terpaksa berpindah dari tempat tinggal mereka," katanya.

Kerajaan telah merangka tiga strategi pembangunan - memperluas bantuan kemanusiaan dan perlindungan sosial, pembinaan semula infrastruktur, serta menghidupkan semula ekonomi negara.

Lima sektor utama diberi tumpuan bagi mempercepat pemulihan ekonomi - tenaga, pertanian, pengangkutan, telekomunikasi dan infrastruktur awam.

"Kita berkumpul hari ini bukan untuk menunjukkan murung hiba kami selepas kehilangan besar yang dialami, tetapi untuk mencari jalan keluar dan hidup seperti burung phoenix yang bangkit semula daripada abu.

"Forum hari ini bukan sekadar untuk bersidang, tetapi untuk merangka asas ke arah pelan hala tuju," kata Min Aung Hlaing seperti dipetik media rasmi.

Bank Dunia menganggarkan pada April lepas bahawa kerosakan akibat gempa bumi itu boleh mencecah RM42 bilion (AS$10 bilion), dan kos pembinaan semula dijangka mencecah dua kali ganda jumlah itu.

Sebanyak 21 negara telah menghantar lebih tiga juta tan metrik bekalan bantuan dan kira-kira 1,000 petugas bantuan serta kakitangan perubatan, termasuk 287 doktor, ke kawasan terjejas, menurut laporan media rasmi.

-- BERNAMA

#Myanmar #pelabur #pemulihan #Infrastruktur #gempa bumi #Min Aung Hlaing