DUNIA
Nagasaki kenang 80 tahun serangan bom atom dengan detik hening

Dalam suasana penuh emosi di Taman Keamanan Nagasaki, lebih 3,000 orang termasuk wakil dari 95 negara hadir untuk memperingati tragedi tersebut. - Foto REUTERS
NAGASAKI: Tepat jam 11.02 pagi, loceng keamanan berdentang dan ribuan peserta tunduk dalam detik hening, memperingati saat bom plutonium meletup di udara di atas bandar Nagasaki 80 tahun lalu.
Serangan itu, yang berlaku pada 9 Ogos 1945, meragut kira-kira 70,000 nyawa serta-merta dan meninggalkan kesan radiasi yang berpanjangan kepada generasi seterusnya.
Dalam suasana penuh emosi di Taman Keamanan Nagasaki, lebih 3,000 orang termasuk wakil dari 95 negara hadir untuk memperingati tragedi tersebut.
Walaupun bilangan mangsa terselamat semakin berkurang, hanya sekitar 99,000 orang dengan purata usia melebihi 86 tahun, semangat mereka untuk menghapuskan senjata nuklear masih utuh."Kita mesti terus merekodkan kisah hidup mangsa bom atom agar generasi akan datang tidak melupakan sejarah ini," kata Teruko Yokoyama, 83, yang kehilangan dua adik perempuan akibat penyakit berkaitan radiasi.
Organisasi beliau kini giat mendigitalkan naratif mangsa untuk dikongsi di YouTube dan media sosial dengan bantuan golongan muda.
Satu detik bersejarah turut berlaku apabila dua loceng dari Katedral Urakami, yang musnah dalam serangan, dibunyikan bersama buat kali pertama sejak tragedi.
Salah satu loceng itu telah hilang selepas pengeboman dan hanya berjaya dipulihkan hasil usaha sukarelawan.
Walaupun mangsa terselamat terus menyeru pengharaman senjata nuklear, mereka kecewa dengan sikap kerajaan Jepun yang enggan menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear.
Sebagai sekutu Amerika Syarikat, Jepun masih bergantung kepada payung nuklear sebagai strategi pertahanan.
China pula memaklumkan bahawa mereka tidak akan menghadiri upacara peringatan, tanpa memberikan alasan rasmi.
Serangan ke atas Nagasaki berlaku tiga hari selepas pengeboman Hiroshima, yang mengorbankan 140,000 nyawa.
Kedua-dua serangan itu membawa kepada penyerahan Jepun pada 15 Ogos 1945, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua dan era agresi ketenteraan negara itu di Asia.
Kini, para mangsa terselamat menyerahkan harapan kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan keamanan.
"Saya serahkan benih 'bunga keamanan' kepada generasi muda, dengan harapan ia akan mekar suatu hari nanti," kata Seiichiro Mise, 90, seorang mangsa yang masih hidup.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami