DUNIA

Nahas Air India: Kotak hitam kedua ditemui, siasatan diteruskan

Agensi 16/06/2025 | 01:20 MYT
Kotak hitam kedua milik pesawat Air India Boeing 787 yang terhempas dalam penerbangan dari Ahmedabad ke London telah berjaya ditemui oleh pasukan penyiasat India. - Gambar Reuters
AHMEDABAD: Kotak hitam kedua milik pesawat Air India Boeing 787 yang terhempas dalam penerbangan dari Ahmedabad ke London kini telah berjaya ditemui oleh pasukan penyiasat India.

Menurut Pembantu Kanan kepada Perdana Menteri India, PK Mishra, perakam suara kokpit (Cockpit Voice Recorder, CVR) ditemui pada Sabtu, manakala perakam data penerbangan (Flight Data Recorder, FDR) telah ditemukan lebih awal pada Jumaat – sehari selepas insiden tragis itu.

Nahas yang berlaku pada Khamis lalu menyaksikan pesawat berkenaan terhempas di kawasan perumahan padat di Ahmedabad sejurus berlepas dari lapangan terbang. Insiden itu mengorbankan sekurang-kurangnya 279 orang, termasuk penduduk tempatan.

Hanya seorang penumpang dilaporkan terselamat daripada keseluruhan 242 penumpang dan anak kapal.

Mishra dalam kenyataan berkata, siasatan awal telah dimulakan oleh Biro Penyiasatan Nahas Udara (AAIB) India, manakala Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dari Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan selari, memandangkan pesawat terbabit adalah buatan syarikat dari AS.

"Pegawai mengesahkan bahawa FDR dan CVR kini dalam simpanan yang selamat," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pakar memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca sebenar nahas, sambil menegaskan bahawa analisis penuh kotak hitam diperlukan sebelum sebarang rumusan dibuat. - Agensi






#nahas Air India #kotak hitam #perakam suara kokpit #cockpit voice recorder #perakam data penerbangan #flight data recorder