DUNIA
Nahas Air India: Swafoto terakhir suami isteri, tiga anak sebelum terhempas
AHMEDABAD: Sekeping gambar swafoto yang dirakam dalam pesawat Air India menjadi simbol terakhir kegembiraan sebuah keluarga sebelum tragedi menimpa.
Ringkasan AI
- Sebuah swafoto menjadi simbol terakhir kegembiraan bagi keluarga doktor dari Rajasthan sebelum pesawat Air India 171 yang mereka naiki terhempas, mengorbankan 241 daripada 242 orang di dalamnya.
- Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner hanya sempat berada di udara selama 32 saat sebelum menjunam dan meletup, dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi enjin atau masalah daya angkat.
- Hanya seorang terselamat dalam tragedi ini, Vishwash Kumar Ramesh, seorang warga Britain keturunan India yang dalam perjalanan pulang ke UK selepas melawat keluarganya.
Rakaman itu dipercayai diambil hanya beberapa minit sebelum pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad menuju ke London.
Dr Komi Vyas, sebelum ini bertugas di sebuah hospital di Udaipur, telah meletakkan jawatan untuk berhijrah ke London bagi bersama suaminya, Dr Prateek Joshi, yang terlebih dahulu menetap di sana.
Pasangan itu membawa bersama tiga anak mereka Nakul dan Pradyut, masing-masing berusia lima tahun, serta anak perempuan mereka, Miraya, berusia lapan tahun.
"Beliau baru berhenti kerja untuk mengikut suaminya ke London," kata jurucakap Hospital Pacific, tempat Dr Komi pernah berkhidmat bersama suaminya.
Menurut saudara terdekat keluarga, Dr Joshi baru sahaja pulang ke kampung halaman mereka di Banswara, Rajasthan awal minggu ini untuk membawa isterinya dan anak-anak berlepas ke United Kingdom.

Dr Prateek Joshi, isteri, Dr Komi Vyas dan tiga anak mereka. - Foto Agensi via Sinar Harian
Beberapa ahli keluarga turut hadir ke lapangan terbang Ahmedabad untuk mengiringi mereka buat kali terakhir.
Adik lelaki Dr Komi, Prabuddha, memaklumkan pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu. Bapa Dr Prateek Joshi pula merupakan seorang pakar radiologi terkenal di bandar itu, manakala bapa Dr Komi pernah bertugas sebagai pegawai dalam Jabatan Kerja Raya (JKR). Dr Prateek juga mempunyai seorang adik perempuan yang merupakan jurutera.
Pesawat Air India 171 yang dalam perjalanan ke London itu berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada Khamis, namun hanya sempat berada di udara selama 32 saat sebelum ia menjunam dan meletup tepat jam 1.38 tengah hari (waktu tempatan).
Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu membawa 242 individu, terdiri daripada 230 penumpang, 10 anak kapal dan dua juruterbang.
Rakaman video kejadian menunjukkan pesawat seolah-olah bergelut untuk mengangkat beban dan gagal mendapatkan daya tujahan yang mencukupi. Pakar penerbangan percaya bahawa enjin mungkin mengalami kegagalan fungsi.
"Ketika berlepas, segalanya kelihatan normal. Namun sebelum sempat gear dinaikkan, pesawat mula menjunam. Ini hanya boleh berlaku jika enjin kehilangan kuasa atau pesawat gagal menjana daya angkat.
Siasatan lanjut akan menentukan punca sebenar," kata Kapten Saurabh Bhatnagar, bekas juruterbang kanan kepada NDTV.
Sehingga Khamis malam, hanya seorang yang dilaporkan terselamat – Vishwash Kumar Ramesh, 40, seorang warga Britain keturunan India yang dalam perjalanan pulang ke UK selepas melawat keluarganya di India.- Agensi via Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami