JAPAN Airlines telah mendedahkan butiran bagaimana semua penumpang dan kru yang berada di dalam pesawat JAL516 berjaya menyelamatkan diri dalam masa 18 minit ketika tragedi di Lapangan Terbang Haneda Tokyo Selasa lalu.

Syarikat itu berkata, pesawat JAL516 itu tiba dari Lapangan Terbang Hokkaido dengan membawa 379 orang penumpang.

Ia kemudian mendarat di Landasan C kira-kira jam 5:47 petang, sebelum bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun dan terbakar.

Pesawat JAL itu terbabas di landasan sejauh kira-kira satu kilometer sebelum berhenti, lapor NHK World.

Siasatan menjurus kepada aspek kecuaian

Syarikat itu berkata, juruterbang pada mulanya tidak menyedari bahawa kebakaran telah tercetus sebelum dimaklumkan oleh ketua pramugari.

"Ketika kabin dipenuhi asap, pramugari menggesa penumpang supaya bertenang. Pemindahan bermula dari dua pintu keluar di hadapan pesawat.

"Hanya satu pintu keluar di bahagian belakang pesawat itu selamat, dan sistem interkom tidak lagi berfungsi," kata syarikat itu.

Syarikat itu berkata, pramugari mengambil inisiatif sendiri membuka pintu pesawat dan mengarahkan penumpang keluar menggunakan gelongsor kecemasan ke atas landasan.

Syarikat penerbangan itu berkata kapten adalah orang terakhir yang keluar daripada pesawat pada jam 6.05 petang.

Japan Airlines juga berkata, ketiga-tiga juruterbang pesawat itu melaporkan mereka tidak mempunyai hubungan visual dengan pesawat pengawal pantai yang lebih kecil itu semasa mereka menghampiri landasan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca perlanggaran itu.

Dalam kejadian itu, pesawat Japan Airlines JAL516 bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun semasa mendarat di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus A350 JAL516 berjaya dipindahkan dengan selamat dari pesawat, namun lima daripada enam anak kapal pesawat Pengawal Pantai Jepun terbunuh dalam nahas itu.

Lima yang terkorban ialah anggota Pengawal Pantai Yoshiki Ishida, 27; Wataru Tatewaki, 39; Nobuyuki Tahara, 41; Makoto Uno, 47; dan Shigeaki Kato, 56.

Juruterbang pesawat Pengawal Pantai Jepun terbabit, Genki Miyamoto, 39, sempat menyelamatkan diri namun mengalami kecederaan parah.