Nahas kereta api di Kentucky cetuskan kebakaran bahan kimia beracun

Tiada kecederaan dilaporkan. Arahan berlindung di tempat masing-masing ditarik balik selepas kebocoran berjaya dikawal. - AP
NEW YORK: Sebuah kereta api tergelincir berhampiran Trenton di negeri Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, mencetuskan kebakaran bahan kimia dan arahan sementara dikeluarkan agar penduduk berlindung di dalam rumah berikutan pelepasan asap beracun, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Insiden itu berlaku kira-kira 6.30 pagi Waktu Tengah (1230 GMT), dengan lebih 30 gerabak kereta api milik Chessie System dan Seaboard Coast Line tergelincir daripada landasan, menurut laporan. Sebuah gerabak yang membawa sulfur cair terbakar, sekali gus melepaskan gas sulfur dioksida yang beracun.
Penduduk dalam radius satu batu (1.6 kilometer) diarahkan sama ada meninggalkan kediaman mereka atau berlindung di dalam rumah dengan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara dimatikan, menurut Jabatan Bomba Trenton.
Tiada kecederaan dilaporkan. Arahan berlindung di tempat masing-masing ditarik balik selepas kebocoran berjaya dikawal, namun Lebuh Raya AS 41 masih ditutup sementara operasi pembersihan dilakukan.
Punca kejadian bagaimana keretapi itu tergelincir masih dalam siasatan.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


