MEDIA tempatan China melaporkan penemuan kotak hitam kedua pesawat China Eastern Airlines MU5735.

Bagaimanapun, media berkenaan menarik balik laporan tersebut dan menjelaskan bahawa ia masih belum ditemukan.

Berita 'penemuan' kotak hitam kedua itu pertama kali dilaporkan pada Jumaat oleh CAAC News, sebuah akhbar dikendalikan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China.

Kotak hitam berkenaan boleh memberikan petunjuk penting mengenai nahas yang menyebabkan pesawat membawa 132 penumpang dan anak kapal itu terhempas.

Perakam data penerbangan daripada kotak hitam yang dipasang pada pesawat Boeing 737-800 berkenaan menyimpan data penting seperti laluan penerbangan, kelajuan, ketinggian dan kuasa enjin.

Ia penting dalam mengenal pasti sama ada berlaku kesilapan manusia atau masalah teknikal pesawat yang menyumbang kepada nahas tersebut.

Pencari menggunakan pengesan logam dalam usaha mencari peranti berkenaan di kawasan luar bandar berbukit di luar bandar Wuzhou, wilayah selatan Guangxi.

Sebuah lagi kotak hitam iaitu perakam suara kokpit telah ditemukan pada Rabu berhampiran titik kemalangan berkenaan dan telah dihantar ke makmal Beijing untuk dianalisis.

Pada Khamis, pasukan mencari dan menyelamat meluaskan kawasan pencarian, namun hujan dan risiko tanah runtuh telah melambatkan operasi berkenaan.