Nahas Sriwijaya: Serpihan pesawat ditemui di Laut Jawa

Agensi
Januari 10, 2021 04:50 MYT
Pasukan penyiasat melihat serpihan pesawat yang ditemui pasukan penyelam pada Ahad di Laut Jawa. - Foto AP
JAKARTA: Pasukan penyelam Indonesia berjaya menemui serpihan pesawat Boeing 737-500 pada kedalaman 23 meter di Laut Jawa pada Ahad, sehari selepas sebuah pesawat dengan 62 penumpang terhempas sebaik sahaja berlepas dari Jakarta.
"Kami mendapat laporan daripada pasukan penyelam bahawa kadar penglihatan di dalam air adalah baik, dan ini membolehkan mereka menjumpai serpihan pesawat berkenaan," kata Ketua Marshal Udara Hadi Tjahjanto dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Kami yakin kawasan berkenaan adalah tempat pesawat itu terhempas."
Hadi berkata serpihan tersebut termasuk bahagian fiuslaj yang pecah dan berdaftar.
Sebelum ini, pasukan penyelamat menemui cebisan mayat, pakaian dan kepingan logam yang terapung.
BACA: Cebisan mayat ditemukan di lokasi pesawat Sriwijaya Air terhempas
"Mudah-mudahan jika keadaan cuaca baik ini berterusan sehingga petang dan kadar penglihatan di dalam air baik, kita boleh teruskan pencarian," katanya.
Seriphan pesawat Sriwijaya Air SJ 182 berjaya ditemui selepas alat sonar pada kapal tentera mengesan isyarat dari pesawat berkenaan di lokasi sama dengan kordinat terakhir ia dikesan sebelum hilang pada Sabtu.
Nelayan di sekitar Pulau Lancang dan Pulau Laki, yang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Seribu, dilaporkan telah mendengar bunyi letupan pada kira-kira jam 2:30 petang Sabtu.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
"Kami mendengar bunyi letupan, kami sangkakan ia berpunca daripada bom atau tsunami.
"Selepas itu kami terlihat sesuatu besar terjatuh ke dalam air," Solihin memberitahu The Associated Press.
"Ketika itu keadaan cuaca sangat buruk dan hujan lebat menyebabkan susah untuk melihat keadaan sekeliling," jelasnya.
Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi memaklumkan penerbangan pesawat SJ 182 ditangguhkan selama sejam sebelum berlepas pada jam 2:36 petang.
Pesawat berkenaan dilaporkan hilang daripada radar empat minit kemudian, selepas juruterbang memaklumkan kepada menara kawalan udara ia akan menanjak ke 29,000 kaki (8,839 meter), katanya.
BACA: Nahas Sriwijaya: Koordinat pesawat terhempas ditemukan, SAR diteruskan pagi ini
BACA: Nahas Sriwijaya: Boeing sedia salur bantuan kepada keluarga mangsa
BACA: Nahas Sriwijaya: Palang Merah sediakan 100 beg mayat, bot
BACA: Nahas Sriwijaya: Wanita kongsi lambaian terakhir
#Sriwijaya #Nahas #Boeing #Laut Jawa #Sriwijaya Air #Serpihan #SJ182