Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

Naib Presiden Venezuela beri amaran tekanan AS boleh jejas pasaran tenaga global

Bernama 15/10/2025 | 15:51 MYT
Rodriguez berkata, sejak lapan minggu lalu, ancaman ketenteraan daripada kerajaan AS mempunyai satu matlamat utama iaitu merampas minyak, gas dan rizab besar Venezuela. - Reuters
MOSCOW: Naib Presiden Eksekutif dan Menteri Hidrokarbon Venezuela, Delcy Rodriguez memberi amaran bahawa tekanan dan tindakan agresif Amerika Syarikat (AS) terhadap Caracas boleh memberi kesan terhadap pasaran tenaga global, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Bercakap pada Minggu Tenaga Rusia 2025 di Moscow pada Rabu, Rodriguez berkata forum itu berlangsung dalam keadaan tenaga berada di pusat geopolitik global, dan tindakan agresif sedang disasarkan terhadap pengeluar minyak dan gas utama, khususnya Venezuela.

"Sejak lapan minggu lalu, kami menyaksikan ancaman ketenteraan daripada kerajaan AS yang mempunyai satu matlamat utama: merampas minyak, gas dan rizab besar Venezuela.

"Serangan ketenteraan terhadap sebuah negara yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia pastinya akan memberi kesan terhadap landskap tenaga antarabangsa serta masa depan pembangunan sumber ini," katanya semasa sesi Minggu Tenaga Rusia.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, AS berulang kali menggunakan aset tenteranya untuk memusnahkan bot di luar pantai Venezuela yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah. Menurut pihak berkuasa AS, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha memerangi jenayah rentas negara dan penyeludupan dadah.

Pada 19 Ogos lalu, jurucakap White House Karoline Leavitt berkata Presiden AS Donald Trump bersedia menggunakan "setiap unsur kekuatan Amerika" untuk memerangi penyeludupan dadah, dan tidak menolak kemungkinan melancarkan operasi ketenteraan di Venezuela.

RIA Novosti ialah rakan maklumat Minggu Tenaga Rusia 2025 yang berlangsung di Moscow dari 15 hingga 17 Okt.

-- BERNAMA


#tekanan #Amerika Syarikat #pasaran tenaga kerja #Venezuela #Delcy Rodriguez