Skip to main content

Dunia

NASA lancarkan teleskop baharu berkuasa tinggi untuk tinjau alam semesta

A SpaceX Falcon Heavy rocket lifts off carrying NASA's Nancy Grace Roman Space Telescope at the Kennedy Space Center in Cape Canaveral, Florida, U.S., August 30, 2026. REUTERS/Joe Skipper
Sebuah roket SpaceX Falcon Heavy berlepas membawa Teleskop Angkasa Nancy Grace Roman milik NASA di Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, AS, 30 Ogos 2026. REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: NASA melancarkan Teleskop Angkasa Nancy Grace Roman baharunya yang direka untuk mengkaji planet jauh, bintang yang meletup dan lohong hitam, selain meninjau alam semesta pada skala yang belum pernah dicapai sebelum ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Teleskop itu, yang dinamakan sempena nama wanita pertama yang memegang jawatan kepimpinan kanan di NASA, dilancarkan menggunakan roket Falcon Heavy yang dikendalikan SpaceX milik Elon Musk dari Cape Canaveral di Florida pada Ahad.

Teleskop itu dijangka tiba di destinasinya kira-kira 1.6 juta kilometer dari Bumi dalam tempoh sebulan dan menghantar imej pertamanya pada awal 2027.

Misi itu mempunyai jumlah peruntukan melebihi US$4 bilion. Ahli astronomi dijangka menggunakan teleskop berkenaan untuk mengkaji pelbagai fenomena termasuk eksoplanet, bintang yang meletup dan lohong hitam.

Teleskop Roman beroperasi dengan cara yang serupa dengan Teleskop Angkasa Hubble, yang dilancarkan pada 1990 dan kini mula berusia serta beroperasi dengan keupayaan yang berkurangan. Namun, Roman direka untuk meninjau langit dengan jauh lebih pantas.

Saintis NASA berkata pemerhatian yang boleh dilakukan Roman dalam tempoh sebulan akan mengambil masa satu abad untuk diselesaikan oleh Hubble.

Hubble mengumpulkan kira-kira 400 terabait data sepanjang lebih 35 tahun berada di angkasa lepas, manakala ahli sains menjangkakan Roman menghasilkan lebih 500 terabait data setiap tahun.

Teleskop Angkasa James Webb, yang dinamakan sempena bekas pentadbir NASA, dilancarkan pada penghujung 2021 bagi melengkapi Hubble. Ia mengamati alam semesta berdasarkan panjang gelombang yang berbeza daripada Hubble dan Roman.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement