TUAH ayam nampak di kaki, tuan manusia siapa yang tahu!

Demikian yang dapat digambarkan terhadap seorang pemuda di Kalimantan Timur, Indonesia selepas menarik perhatian ramai selepas dikatakan mirip penyanyi dan pelakon tersohor Korea Selatan, Lee Min Ho.

Gambar-gambar yang memaparkan pemuda yang dikenali sebagai Doddy Angga Andrianto, 27, sedang berniaga nasi kuning menjadi tular di laman sosial sehinggakan perniagaan yang diusahakan bersama ibunya itu mendapat sambutan yang mengalakkan.

Memetik laporan portal Kompas, sebanyak 15 kilogram (kg) nasi habis terjual dalam tempoh sejam sejak gambar-gambarnya tular.

Selain perniagaan yang semakin laris, Dobby turut mengakui terdapat wanita yang mengajaknya keluar, namun dia menolak dengan baik.

"Saya tidak pernah berasakan mirip seperti artis itu (Lee Min Ho). Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza," katanya memetik laporan tersebut.

Jelas Doddy lagi yang juga graduan Universiti Mulawarman dalam bidang ekonomi perniagaan, perkara itu bukan pertama kali berlaku kepadanya.

Wajah pemuda berdarah campuran Dayak, Bugis dan Jawa itu turut pernah dikatakan mirip artis Korea, Siwon, pelakon popular Hong Kong, Andy Lau, selain didakwa persis artis Indonesia, Boy William.

"Ada yang cakap (saya seperti) orang Thailand, Cina dan macam-macam lah. Ada juga dakwa mirip Boy William, Andi Lau, Siwon dan lain-lain.

"Saya tidak tahu artis-artis itu. Jadi apabila tular, ramai kawan-kawan kata, kenapa baru tular sekarang?" ujarnya.

Bagaimanapun, Doddy juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa siber buli.

"Saya tidak mahu dibuli. Saya tidak kuat," luahnya.