[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
DUNIA

Nasib politik PM Jepun, Shigeru Ishiba ditentukan dalam pilihan raya hari ini

Agensi 20/07/2025 | 01:20 MYT
Perdana Shigeru Ishiba mengangkat tangan sebagai simbol semangat dari atas bas kempen pada hari terakhir kempen pilihan raya Dewan Negara, di Tokyo, Jepun, pada Sabtu. - Gambar Reuters
TOKYO: Rakyat Jepun hari ini keluar mengundi dalam pilihan raya Dewan Negara yang dijangka menjadi ujian terbesar buat Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, di tengah-tengah keresahan rakyat terhadap kenaikan harga barang dan isu imigresen.

Pilihan raya ini membabitkan 124 daripada 248 kerusi Dewan Negara.

Menurut tinjauan awal, gabungan pemerintah yang diterajui Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan sekutu, Komeito, dijangka gagal mencapai ambang 50 kerusi yang diperlukan bagi mengekalkan penguasaan mereka dalam dewan tersebut.

Antara cabaran utama buat kerajaan ialah kemaraan parti-parti pembangkang berskala kecil yang menuntut pemotongan cukai dan perbelanjaan awam lebih besar.

Tumpuan turut terarah kepada kemunculan parti berhaluan kanan, Sanseito, yang menolak kemasukan pendatang, aliran modal asing dan dasar kesaksamaan jantina.

Menurut penganalisis, prestasi buruk dalam pilihan raya ini bukan sahaja boleh menggugat keyakinan pelabur terhadap ekonomi keempat terbesar dunia itu, malah mengancam rundingan perdagangan penting dengan Amerika Syarikat (AS).

Jepun kini menghadapi tarikh akhir 1 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bersama Washington.

Sekiranya gagal, negara itu bakal dikenakan tarif yang tinggi terhadap eksport utama – satu tekanan besar kepada ekonomi yang sudah pun terbeban dengan inflasi dan lonjakan harga makanan asas seperti beras yang dilaporkan meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu.

Penganalisis politik dari Asia Group di Jepun, Rintaro Nishimura berkata, sekiranya keputusan tidak memihak kepada kerajaan, Perdana Menteri Ishiba berdepan dua pilihan: meletak jawatan atau berunding dengan pembangkang bagi membentuk pakatan baharu melalui kompromi dasar.

"Setiap senario memerlukan LDP dan Komeito membuat pengorbanan tertentu dan ini sukar dilaksanakan kerana mana-mana pihak yang dirunding pasti akan menggunakan kedudukan mereka sebagai pengaruh," katanya.

Walaupun pihak pembangkang menyeru lebih banyak bantuan fiskal termasuk pemotongan cukai dan perbelanjaan kebajikan, LDP kekal dengan pendekatan berhemat dalam kewangan negara, mengambil kira ketidaktentuan dalam pasaran bon kerajaan yang sensitif terhadap beban hutang awam.

Kedudukan Ishiba semakin rapuh selepas LDP tewas majoriti dalam Dewan Rendah pada Oktober lalu – kekalahan terburuk parti itu dalam tempoh 15 tahun.

Keputusan tersebut mencetuskan kejutan dalam pasaran kewangan serta membuka ruang kepada usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.

Walaupun Jepun secara tradisinya ditadbir LDP sejak era pasca perang dunia, landskap politik negara itu kini semakin terdedah kepada perpecahan sosial dan peralihan sokongan – senario yang sebelum ini hanya berlaku dalam negara-negara demokrasi perindustrian lain.

Proses pengundian ditutup pada jam 8 malam waktu tempatan, dengan media dijangka mengumumkan keputusan awal berdasarkan tinjauan keluar mengundi.

Keputusan rasmi dijangka akan memberi gambaran jelas sama ada Ishiba mampu meneruskan pentadbirannya – atau bakal menyaksikan perubahan drastik dalam landskap politik Jepun. - Agensi




#Jepun #Pilihan Raya Jepun #Perdana Menteri Jepun #Shigeru Ishiba #Parti Demokratik Liberal